Hormati hak pemuda PN untuk berhimpun - Hassan
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, rakyat tidak perlu bimbang selagi para peserta menjaga batasan dan larangan sedia ada kerana mereka hanya mahu menyuarakan perkara yang tidak tidak puas hati terhadap kerajaan.
"Pihak penganjur sudah maklumkan kepada pihak polis yang menjadi pemudah cara untuk pastikan perhimpunan aman itu berjalan dengan baik.
"Cuma kita jangan langgar peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 seperti tidak boleh berhimpun di stesen minyak atau stesen kereta api misalnya tapi tempat-tempat yang tiadk mengganggu ketenteraman awam dibolehkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Malaysia anjuran Persatuan Peniaga dan Usahawan Kecil dan Sederhana Daerah Johor Bahru di Pasar Borneo Johor di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Pemuda PN bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dalam kenyataan memaklumkan, mereka tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara pada Sabtu.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketetapan tersebut dibuat dengan mengambil kira polis telah menerima notis pemakluman berhubungan penganjuran perhimpunan tersebut.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, perhimpunan tersebut wajar diteruskan dan jika melanggar peraturan tindakan perlu diambil termasuk sekiranya mereka memang bertujuan mengadakannya untuk menimbulkan kacau bilau.
Tegas beliau, penganjur perlu bertanggungjawab dalam apa juga yang berlaku bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
"Kita faham kerana saya dan ramai pemimpin dalam kerajaan sekarang pernah terlibat dalam perhimpunan seperti Perhimpunan Bersih 1. Kita kena baik sangka dengan pihak sekarang, mereka juga warganegara yang diberikan hak dan kebebasan.
"Saya pernah menjadi peguam membela peserta Perhimpunan Bersih ini dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru sampai Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka pada akhirnya dilepaskan (mahkamah) kerana tidak berbuat kesalahan, hanya menyertai perhimpunan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!