RM5.5 juta untuk projek pembangunan di Pelangai - Wan Rosdy
BENTONG - Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk 32 projek pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bukan gula-gula pilihan raya.
Beliau menjelaskan, projek-projek tersebut antara yang dimohon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sebelum ini.
"Kita sejak dulu lagi kalau tak ada pilihan raya, kita tetap bagi bantuan antaranya untuk anak-anak masuk sekolah, universiti, jemaah haji, kita teruskan. Bukan pilihan raya baru kita nak buat.
"Baru ini saya berjumpa Perdana Menteri (PM), Timbalan Perdana Menteri (TPM), minta ia diteruskan dan ia diluluskan," kata Wan Rosdy.
Beliau ditemui selepas Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini pada Sabtu.
Wan Rosdy berkata, peruntukan tersebut membuktikan kedudukan ekonomi negara bertambah baik.
"Kalau tak mana mungkin PM, TPM luluskan dengan serta-merta, projek ini semua berkaitan dengan rakyat dan ini semua bukan sahaja sebab pilihan raya, di tempat lain pun ada juga kelulusan DUN Pahang," tambah Wan Rosdy lagi.
Jelas beliau, beberapa projek akan memasuki proses cabut undi yang diuruskan oleh Pejabat Daerah pada Isnin supaya ia dapat dipercepatkan.
Antara projek yang terlibat kerja-kerja naik taraf jalan serta berkaitan di Kampung Chemomoi, Kampung Hayat serta bina baharu jalan di Kampung Semerting dan Kampung Sungai Poh.
Sementara itu, Wan Rosdy juga memberitahu majlis pengumuman calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai akan diadakan di Dewan UMNO Bahagian Bentong pada jam 8 malam, Rabu serta pelancaran jentera parti pada petang hari sama.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Oktober ini dengan hari penamaan calon berlangsung pada 23 September manakala 3 Oktober sebagai hari mengundi awal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!