Pengunjung Pantai Pulau Kekabu disengat ubur-ubur
KUALA TERENGGANU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu menerima satu laporan melibatkan kes pengunjung disengat ubur-ubur di Pantai Pulau Kekabu, Marang.
Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, kes berlaku pada Sabtu minggu lalu melibatkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang tiba di situ untuk beriadah bersama keluarga.
"Mangsa tiba di situ bersama keluarga kira-kira jam 4 petang sebelum terkena sengatan ubur-ubur sekitar jam 5.20 petang.
"Mangsa kemudiannya menghubungi penyelamat pantai untuk mendapatkan rawatan," katanya dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Rosman menasihatkan orang awam supaya lebih berwaspada ketika berada di kawasan pantai untuk mengelak terkena sengatan ubur-ubur.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelak aktiviti mandi-manda di pantai serta tidak menyentuh dan menjauhi haiwan berkenaan.
"Jika terkena sengatan, boleh rujuk kepada penyelamat pantai yang bertugas atau hubungi anggota penyelamat," katanya.
Tular di laman sosial pada Sabtu hantaran yang dimuat naik oleh seorang individu mengenai kehadiran ubur-ubur di Pantai Pulau Kekabu dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berada di lokasi berkenaan.
Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk ada yang mengakui terdapat ahli keluarga terkena sengatan ubur-ubur ketika mandi di lokasi sama.
Selain itu, terdapat juga pengguna media sosial yang mengaku anaknya terkena sengat ubur-ubur ketika mandi di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!