Pembinaan WISE Gopeng-Kuala Kangsar pada peringkat akhir rundingan

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias
A
A
A

BAGAN SERAI - Pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer (km), kini pada peringkat akhir rundingan dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Disember ini.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, rundingan bersama syarikat konsesi yang dilantik itu meliputi pelbagai perkara termasuk jangkaan kos pembinaan keseluruhan.

"Kita berharap rundingan bersama syarikat konsesi itu akan berjalan lancar dan pembinaannya mengikut perancangan sepertimana yang akan ditetapkan,” katanya pada sidang media Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LLM dan Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi LLM sempena Hari Malaysia 2023, di Masjid Al-Mahmuddiah di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan Perak berharap pembinaan WISE disegerakan dan dilaksanakan tahun ini, bagi mengurangkan kesesakan dan mengelakkan kes kemalangan maut di Terowong Menora, selain sebagai laluan alternatif.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, RM5.2 bilion diperuntukkan bagi pembinaan keseluruhan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) melibatkan jajaran sejauh 233km dari Rawang ke Changkat Jering.

Katanya, setakat ini baki jajaran yang masih dalam pembinaan adalah melibatkan laluan Beruas ke Changkat Jering sejauh 35.5 km dan akan beroperasi Januari tahun depan.

"Paling penting objektifnya adalah bagi mengurangkan aliran trafik atau kesesakan yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Jalaluddin menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 20 penerima terdiri daripada asnaf dan anggota kariah Masjid Al-Mahmuddiah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!