Dua beradik antara 155 pasangan nikah pada Hari Malaysia
JOHOR BAHRU - Tarikh 16 September yang juga merupakan tarikh sambutan Hari Malaysia pasti tidak akan dilupakan oleh dua beradik, Nurulummi Osman, 37, dan Nurulainun Osman, 28, apabila mereka selamat diijabkabulkan dengan pasangan masing-masing.
Lebih manis, mereka adalah sebahagian daripada 155 pasangan yang dinikahkan menerusi program Walimatul Urus Perdana 2023 anjuran kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di Pusat Konvensyen Danga Bay di sini, pada Sabtu.
Nurulummi berkata, dia dan suami, Mohd Soffi Shamsuri, 37, sebenarnya merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini sementara adiknya, Nurulainun dan suami, Suhaimi Badrum, 28, pula menyusul pada tahun hadapan.
Bagaimanapun katanya, mereka kemudiannya sepakat untuk menyertai majlis walimatulurus urus perdana itu setelah terbaca iklan mengenainya.
“Pada mulanya, adik saya (Nurulainun) yang jumpa iklan majlis kahwin ini dan kami cubalah untuk memohon.
“Alhamdulillah, kami terpilih dan saya pun memang bercadang nak kahwin tahun ini. Jadi macam langkah kanan lah buat saya dan suami kerana dapat jimat belanja kahwin sebab sekarang harga barang semuanya naik.
"Lagi satu saya seronok sebab dapat kahwin serentak dengan adik. Jadi, dapatlah kongsi tarikh nak sambut anniversary (ulang tahun perkahwinan) dengan dia nanti,” katanya kepada pemberita setelah selesai diijabkabulkan.
Nurulummi merupakan anak sulung sementara Nurulainun anak ketujuh daripada sembilan beradik.
Selain diraikan dalam majlis pernikahan beramai-ramai, segala perbelanjaan perkahwinan seperti pelamin, katering, cenderahati dan penginapan bagi kesemua pasangan ditanggung sepenuhnya.
Dalam pada itu Nurulainun berkata, dia dan Nurulummi bersetuju menyertai majlis perkahwinan tersebut kerana syarat-syarat yang dikenakan tidak terlalu ketat.
Malah katanya, dengan menyertai majlis berkenaan, banyak perbelanjaan dapat dijimatkan.
“Memang banyak dapat jimat untuk bajet kahwin kali ini...memang rasa gembira sangat.
“Selain itu bagi saya kahwin ramai-ramai ini jadikan kita dapat rasa debaran bersama pengantin yang lain dan itu juga satu perkara yang menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi meraikan 155 pasangan pengantin pada majlis berkenaan.
“Secara keseluruhannya, program ini dilaksanakan bagi membantu pasangan pengantin meraikan hari perkahwinan mereka dengan meriah.
"Secara puratanya, boleh katakan kita hanya membelanjakan sekurang-kurangnya hanya RM3,200 bagi setiap pasangan.
“Bayangkan kalau mereka buat sendiri di luar, pasti lebih mahal kerana melibatkan kos yang lebih tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!