Lagu Negaraku akhiri Himpunan Selamatkan Malaysia
KUALA LUMPUR - Himpunan Selamatkan Malaysia di hadapan pusat beli-belah Sogo diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku sempena Hari Kebangsaan pada Sabtu.
Himpunan yang berakhir pada jam 3.30 petang itu turut disusuli dengan bacaan doa sebelum peserta bersurai secara aman.
Acara itu dihadiri oleh Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard.
Sebelum itu, Tun Faisal membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.
Laporan polis itu dibuat agar siasatan dapat dijalankan membabitkan kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada 4 September lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!