‘Kenapa harus takut pada Tun M?’

Dr Mahathir (kiri) dan Khairuddin.
Dr Mahathir (kiri) dan Khairuddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Perdana Menteri atau ahli Parlimen yang perlu ditakuti dan menjadi ancaman kepada orang lain.

Bagaimanapun, Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu (Proklamasi), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hairan apabila ada sesetengah pemimpin politik yang terlalu kuat berpegang pada persepsi negatif dan curiga terhadap segala niat baik bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya, segala tindak-tanduk Dr Mahathir kini amat ikhlas untuk membantu membangunkan negeri-negeri Melayu yang mempunyai pelbagai potensi daripada perspektif ekonomi.

“Tokoh negarawan ini hanya mahu melihat Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis maju setanding dengan negeri-negeri lain di Pantai Barat Semenanjung. Takkan beliau nak tolong bangunkan negeri-negeri ini pun, mereka hendak mempolitikkannya?

“Bagi saya, pemimpin yang menyokong kerajaan amat takut sekiranya empat negeri ini membangun maju kerana rakyat akan beralih persepsi daripada melabelkan negeri yang ditadbir Pas tidak boleh maju dibandingkan dengan negeri diperintah kerajaan.

“Secara jujur dan ikhlas, saya ingin ingatkan sahabat saya yakni Datuk Seri Salleh Said Keruak agar tidak perlu takut pada bayang-bayang sendiri kerana Dr Mahathir tidak mempunyai sebarang agenda politik dalam membantu keempat-empat negeri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah pada Jumaat dilaporkan mendakwa Pas dalam usaha menjadikan Dr Mahathir ‘de facto leader’ Perikatan Nasional selepas melantik bekas Perdana Menteri itu sebagai penasihat kepada empat kerajaan negeri.

Beliau juga melihat Pas mengambil tindakan tersebut tanpa melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia walaupun kedua-dua parti berkenaan menganggotai PN.

Artikel Berkaitan:

Tambah Khairuddin, pada usia 98 tahun dan pernah merasai segalanya termasuk menjadi Perdana Menteri dua kali, negarawan itu tidak mempunyai sebarang agenda politik lagi dalam menjayakan SG4.

“Beliau mahu membuktikan bahawa pemimpin di negeri-negeri terlibat dapat memimpin setanding dengan negeri maju yang lain, seterusnya menebus maruah Melayu dalam agenda bagi memperkasa negeri yang dipimpin.

“Ia secara tidak langsung dapat membantu menstabilkan kedudukan ekonomi negara kerana negeri-negeri ini juga adalah sebahagian dari persekutuan Tanah Melayu. Stabilnya ekonomi serta politik keempat-empat negeri ini akan memanfaatkan kerajaan Persekutuan dalam pelbagai segi.

“Untuk makluman Datuk Seri Salleh Said Keruak, Dr Mahathir tidak minat lagi untuk berpolitik sebab itulah kini gerakan kami dijalankan secara ‘non partisan’ merentasi parti-parti politik,” jelasnya.