Ketua jururawat hilang: Kakak patut balik kampung tapi...

Kharina (bertudung hijau) bersama keluarga
Kharina (bertudung hijau) bersama keluarga
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] "Dia patut balik dan berpuasa bersama anak-anaknya, tapi... kelibatnya tak muncul-muncul," demikian menurut Siti Khairani Mohd Kamarudin,36, mengenai kakaknya yang dilapor hilang sejak 8 Mei lalu.

Kehilangan Siti Khairina Mohd Kamarudin, 40, yang bertugas sebagai ketua jururawat Hospital Serdang, disedari keluarga ini selepas tidak pulang ke kampung serta dimaklumkan tidak bertugas seperti biasa selepas cuti pertama puasa.

"Kakak ada menghubungi suaminya dan bercakap seperti biasa. Katanya nak berbuka dengan anak-anak selepas habis waktu bekerja.

Khairani (kanan) mengharapkan kakaknya ditemui segera
Khairani (kanan) mengharapkan kakaknya ditemui segera

"Tapi, dia tak muncul-muncul. Pelik juga kerana tidak ada apa yang berlaku antara kakak dan kami di sini termasuk suaminya, keadaan pun baik-baik sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, hari selepas tidak pulang ke kampung, Siti Khairina sepatutnya bertugas syif malam, tetapi dia tidak ke tempat kerja seperti kebiasaan.

Dia sepatutnya kerja syif malam pada Khamis dan Jumaat sebelum balik ke Kuala Pilah... tetapi dimaklumkan tidak masuk kerja.

"Rakan serumah yang tinggal di kuarters hospital ada berselisih bahu ketika mahu keluar berbuka puasa dan masa tu kakak baru pulang kerja petang. Tetapi katanya, tak nampak sesuatu yang pelik.

Artikel Berkaitan:

"Mereka bertegur macam biasa kerana rakannya itu mahu pergi kerja. Masa tu, mungkin kakak balik nak ambil barang, kemudian keluar balik dengan pakaian kerja. Itulah kali dia dilihat di kawasan tempat letak kereta hospital," ceritanya.

Siti Khairani berkata, kakaknya tinggal di kuarters hospital sejak enam tahun lalu kerana berkhidmat di Hospital Serdang dan hanya akan balik ke Kuala Pilah setiap kali cuti.

"Sampai sekarang, tiada sebarang perkembangan diterima tentang kehilangan kakak.

"Apa yang tular kata kakak saya dah balik adalah tidak benar. Saya mohon hentikan semua sebaran perkara tak benar mengenai kakak," jelasnya.

Katanya, dengan tersebarnya berita palsu seumpama itu hanya membantutkan usaha pencarian.

"Ada yang telefon dan tawarkan khidmat untuk berubat cara perubatan Islam. Disuruh ke sana sini, kami ikhtiar demi kakak.

"Saya sekeluarga harap kakak dapat ditemukan dengan selamat. Bimbang dengan keselamatan dia. Lagipun tak lama lagi dah nak raya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah kes Orang Hilang

Terdahulu pengurusan Hospital Serdang mengesahkan kehilangan Siti Khairina yang dilihat kali terakhir memandu kereta jenis Honda City berwarna putih di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membantu mengesan Siti Khairina digesa agar menghubungi polis atau adik Siti Khairina, Siti Khairani Mohd Kamaruddin di talian 012-2587764.

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Serdang sahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas

Polis temui petunjuk baharu kes kehilangan ketua jururawat

Siti Kharina masih belum pulang setelah lima hari hilang

Kertas siasatan kehilangan Ketua Jururawat Hospital Serdang dibuka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!