'Perhimpunan guna sentimen patriotisme palsu boleh cetus ideologi tidak sihat'
KUALA LUMPUR - Hari Malaysia sewajarnya diraikan dengan penuh semangat perpaduan serta kebersamaan, bukannya dicemari dengan perhimpunan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara dan lebih teruk menyusahkan kehidupan orang ramai.
Lebih membimbangkan menurut penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, perhimpunan di ibu negara hari ini yang tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 menggunakan simbolisme dan sentimen patriotisme kenegaraan palsu.
Noor Nirwandy yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, perkara berkenaan sekiranya tidak diatasi berpotensi mencetuskan unsur subversif seterusnya menidakkan Malaysia sebagai negara aman, merdeka, berdaulat dan sejahtera.
"Bila berlaku demonstrasi, dibimbangi ia akan mewujudkan emosi berbahaya yang kemudian membawa ideologi tidak sihat seterusnya bertukar menjadi aktiviti keganasan atau subversif dan kita tidak mahu ini berlaku seperti mana banyak terjadi di luar negara.
"Masyarakat perlu berhati-hati kerana permainan segelintir ahli politik untuk kepentingan peribadi boleh menimbulkan keterujaan yang jika gagal dibendung atau dikawal dengan baik boleh menjadi satu bentuk ancaman kepada negara," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Melontarkan pandangan sama, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Mujibu Abd Muis berkata, walaupun hak untuk berhimpun dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan, ia tidak seharusnya disalah guna semata-mata untuk meraih kepentingan politik lebih-lebih lagi dengan sentimen bertujuan memburukkan pihak tertentu.
"Isunya kebanyakan perhimpunan berprofil tinggi (seperti ini) berlaku untuk mendapatkan kepentingan politik dan digunakan untuk petikan suara bagi memburukkan pihak tertentu dan pihak berwajib.
Mereka tidak dapat kebenaran tetapi tetap diteruskan, dan apabila diambil tindakan, (mereka akan) kata pihak berwajib kejam dan zalim," kata Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM itu.
Katanya, perhimpunan yang diadakan ketika negara meraikan Hari Malaysia sangat tidak wajar kerana sambutan hari ini sepatutnya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti membina dan menyatupadukan rakyat.
Perhimpunan berkenaan tidak mendapat sambutan dan disertai kira-kira 850 peserta sebagaimana dinyatakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.
Berbeza dengan program Keretapi Sarong 2023 (KS 2023), lebih 10,000 peserta pelbagai kaum dan usia menyertai acara berkenaan di Dataran Merdeka di sini yang diadakan bertujuan menyemai semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Malaysia.
Bagi orang ramai, perhimpunan yang bermula di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sangat menyusahkan dan mengganggu aktiviti hujung minggu mereka.
Seorang peniaga kain tudung di Jalan TAR Jamilah Satin, 50, berkata, jualannya pada hari ini sangat merosot kerana kekurangan pelanggan susulan terdapat perhimpunan di kawasan itu.
"Kebiasaannya saya mampu menjual hampir 20 hingga 30 kain tudung sehari, tapi pada hari ini baru seorang yang datang membeli,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Azam yang datang membeli-belah di sebuah pusat membeli-belah di Jalan TAR sempena cuti umum hari ini terpaksa menunggu hampir lima jam sebelum boleh keluar dari kawasan berkenaan kerana kesesakan lalu lintas.
"Saya dari Kelantan datang ke sini bersama keluarga untuk membeli-belah, tak sangka pula ada perhimpunan ini yang mengganggu aktiviti hujung minggu saya,” katanya.
Orang ramai juga melepaskan "geram” di media sosial antaranya Hasrey Hj Haris yang berkata: "Tolonglah jangan sertai apa-apa, buat semak lalu lintas sahaja. Waktu cuti inilah orang yang bekerja harian nak bawa anak-anak jalan-jalan di kawasan Kuala Lumpur,". - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!