Liverpool bangkit benam Wolves
LIVERPOOL menjaringkan dua gol lewat untuk memastikan kemenangan 3-1 ke atas Wolverhampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Hwang Hee-Chan di Molineux, skuad kendalian Jurgen Klopp itu membalas melalui Cody Gakpo dan Andy Robertson sebelum gol sendiri oleh Hugo Bueno dalam masa kecederaan memberikan tiga mata kepada Liverpool.
Liverpool tidak tewas selepas lima perlawanan musim ini dan melonjak ke kedudukan teratas EPL buat seketika mengatasi Manchester City.
Ia merupakan permulaan yang mengagumkan untuk Liverpool yang terlepas saingan Liga Juara-Juara musim lalu buat kali pertama sejak 2016.
Ia juga merupakan kemenangan keempat berturut-turut Liverpool selepas seri dengan Chelsea dalam perlawanan pembukaan kempen.
Selepas ini, Liverpool akan mengalihkan tumpuan menentang LASK dalam aksi Liga Europa pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!