Pesara guru jelajah 30,000km ke tujuh negara dengan skuter

Mohammad Lasim melakukan penjelajahan secara solo dengan motosikal ke tujuh buat negara. - Foto Bernama
Mohammad Lasim melakukan penjelajahan secara solo dengan motosikal ke tujuh buat negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pesara guru membuktikan dengan semangat kental, segalanya dapat direalisasikan termasuk menjelajah di tujuh negara sejauh 30,000 kilometer (km) dengan menunggang motosikal secara solo.

Ekspedisi menggunakan skuter Yamaha NMAX 155 itu mengambil masa hampir empat tahun untuk ditamatkan, bermula dari Kota Bharu, Kelantan pada Disember 2019 merentasi Thailand, Myanmar, India, Nepal, China dan Laos, sebelum kembali ke tanah air pada Jun lepas.

Berkongsi pengalamannya, Mohammad Lasim Deraman, 57, berkata, ekspedisi tersebut mengambil tempoh lama lantaran wabak Covid-19 yang melanda dunia, selain sebahagian laluan di pergunungan Himalaya terpaksa ditutup beberapa bulan akibat salji tebal.

Katanya, selepas tiga bulan menunggang dan sampai di Mumbai, India, beliau membuat keputusan untuk mengambil penerbangan pulang ke Malaysia dengan hasrat membawa isterinya mengikuti kembara itu, namun Covid-19 melanda dunia menyebabkan ekspedisi tersebut terhenti seketika.

"Pada Mei 2022 apabila sempadan dibuka, saya kembali ke Mumbai untuk menyambung ekspedisi yang tertangguh. Namun, tidak sampai sebulan, sekali lagi saya terpaksa pulang ke Malaysia kerana laluan Zojila Pass, yang menghubungkan Ladakh dan Kashmir ditutup untuk semua kenderaan.

"Meskipun dua kali tertangguh, saya kuatkan semangat untuk bawa balik motosikal saya yang ditinggalkan di sana kembali ke tanah air. Jadi, sekitar April lalu, saya ambil tiket penerbangan ke New Delhi dan menyambungnya (ekspedisi) semula.

"Akhirnya, tiga hari sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha lepas, saya selamat tiba di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok, Kelantan,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Lasim berkata, pelbagai cabaran diharungi untuk menamatkan ekspedisi itu, antaranya kerosakan enjin skuter, laluan berbatu, berlumpur, sempit dan bercerum di utara pergunungan India dan Nepal, serta cuaca sejuk hingga - 20 darjah celsius yang boleh menyebabkan risiko Acute Mountain Sickness (AMS) atau akut gunung.

"Antara momen yang tidak dilupakan ialah ketika menunggang skuter di laluan Zojila Pass. Laluan ini yang berketinggian kira-kira 3,528 meter dari aras laut, disifatkan antara jalan berbahaya di dunia kerana fizikal jalan yang licin, berbatu, gaung yang dalam dan tidak berpagar boleh membahayakan sekiranya kita tidak berhati-hati.

"Meskipun ia bagaikan satu penyeksaan dan perlu menunggang dengan perlahan sejauh 50km di laluan itu lebih tiga jam namun, dengan kepelbagaian topografi yang dihiasi panorama yang memukau dan menakjubkan, segala penat lelah dan pengorbanan dilalui berbaloi,” katanya yang turut menunjukkan gambar, video serta cop masuk dan keluar negara-negara tersebut pada pasportnya.

Mohammad Lasim yang juga bekas guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong, Kota Kinabalu, Sabah berkata, beliau mula melakukan ekspedisi menunggang pelbagai jenis motosikal sejak 2008 dan antara negara pernah dikunjunginya ialah Sumatera dan Kalimantan di Indonesia, Laos, Vietnam, Thailand dan benua Afrika.

Menurutnya, mengembara ke luar negara dengan motosikal memberikan peluang kepada dirinya untuk mengenal lebih dekat budaya sesuatu komuniti berbanding yang diceritakan di televisyen atau media sosial.

Sementara itu, pengembara tegar, Azman Baharuddin menyifatkan pencapaian Mohammad Lasim yang menunggang skuter pada jarak jauh itu adalah sesuatu yang luar biasa dan menyifatkan beliau mungkin rakyat Malaysia yang pertama berjaya melakukannya.

Azman yang berpengalaman menunggang motosikal hingga ke luar negara, termasuk empat kali ke Tanah Suci, Makkah bagi menunaikan umrah dan haji, berkata menunggang skuter mempunyai limitnya tersendiri dan mekanikalnya lebih kompleks berbanding motosikal biasa.

"Skuter secara umumnya popular untuk tunggangan jarak dekat seperti di bandar raya yang trafiknya sesak kerana ia mudah, tiada gear dan selesa, tapi dari segi penyelenggaraan lebih tinggi daripada motosikal biasa.

"Berbeza sekiranya ia ditunggang di laluan yang tidak berturap, berbukit, tunggangannya tidak akan selesa dan sukar untuk mengawal kerana roda skuter yang kecil. Begitu juga risiko untuk rosak lebih tinggi dan untuk mencari alat gantinya mungkin sukar jika berada di kawasan terpencil,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!