Masih bertahan jual barangan terpakai sejak 30 tahun
KOTA BHARU - Seorang peniaga barangan rumah terpakai masih bertahan menjalankan perniagaan itu sejak 30 tahun lalu berikutan ada pemintaan daripada pelanggan.
Shaari Abdullah, 54, berniaga setiap hari Jumaat di Medan Ilmu membawa barangan terpakai termasuk pelita, periuk, jam tangan, bekas air dan tempat letak akhbar.
Menurut Shaari, barangan berkenaan ada yang dibeli dari kedai barangan terpakai atau daripada individu yang sudah tidak mahu menggunakannya kerana rosak atau tidak memerlukan.
"Ada barang yang saya beli sudah rosak dan perlu dibaiki dan ada yang memerlukan alat ganti.
"Contohnya jam yang mengambil masa untuk dibaik pulih dan menggantikan bateri baharu. Ada juga barang yang disembur cat supaya nampak cantik sebelum dijual," katanya.
Shaari yang pernah menjual aiskrim memberitahu, masih banyak barang terutama keperluan rumah terpakai yang boleh didapati di seluruh Kelantan.
"Banyak masa saya berulang-alik ke Kuala Krai kerana ramai pengumpul barangan terpakai yang mahu menjual milik mereka," katanya.
Jelasnya, setiap hari dia keluar daerah mencari barang yang difikirkan menarik pembeli dan menjualnya pada Jumaat.
"Saya tahu nilai sesuatu barangan berkenaan dan tidak teragak-agak membeli daripada pemilik asal.
"Sebenarnya masih ramai yang mencari barangan tertentu sebagai kenangan atau untuk mencukupkan koleksi," katanya.
Bapa kepada empat anak berusia antara 17 hingga 26 tahun itu memberitahu, harga barangan yang dijual bergantung pada kos pembaikan dan pembelian dengan pemilik asal.
Menurut Shaari lagi, terdapat barangan yang dijual pada harga sehingga mencecah ratusan ringgit kerana nilai estetika yang tersendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!