Jangan guna orang asli untuk halang pembalakan: MB Perak
IPOH - Kerajaan Perak mengharapkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba menjadi juara terhadap permasalahan orang asli supaya ikhlas membantu masyarakat itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kaum orang asli tidak seharusnya dipergunakan untuk menghalang kerajaan negeri mendapatkan hasil terutama daripada pembalakan.
Katanya, rakyat perlu mengetahui bahawa usaha membalak itu bukan satu kesalahan jenayah tetapi salah satu usaha menambah pendapatan negeri.
"Saya dapati tak kira kerajaan mana yang memerintah akan ada NGO yang nak jadi juara dalam perkara seperti ini semata-mata nak mengganggu pentadbiran kerajaan.
"Saya tak fikir mereka ini ikhlas nak menolong orang asli. Kalau betul nak bantu orang asli buat program kampung angkat bersama dengan mereka setiap masa bukan sekali sekala," katanya dalam satu sesi temubual khas Setahun Kerajaan Pakatan Harapan Perak di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak lama, di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata, pembalakan yang dilakukan adalah secara lestari malah Perak masih mengekalkan 48 peratus negeri ini diliputi hutan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, selain hasil hutan, Perak juga mempunyai hasil mineral yang banyak seperti bijih timah, pasir dan sebagainya.
Katanya, walaupun Perak mempunyai deposit bijih timah terbanyak dunia namun, setakat ini hanya terdapat dua lombong yang beroperasi secara aktif di negeri ini.
"Saya telah mengambil pendekatan untuk mendekati pelombong-pelombong baharu dan juga yang sedang menjalankan aktiviti supaya mencari satu kaedah mengeluarkan hasil bumi dengan dapat menjaga kelestarian alam sekitar sekali.
"Kita sedang mencari kaedah terbaik melalui beberapa cadangan daripada syarikat dari Australia yang begitu berpengalaman luas dalam perlombongan secara lestari cara moden," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!