Bumbung Surau Al-Hidayah rosak teruk

Jemaah surau terpaksa meletakkan besen bagi mengelakkan air hujan membasuh karpet dalam surau berkenaan.
Jemaah surau terpaksa meletakkan besen bagi mengelakkan air hujan membasuh karpet dalam surau berkenaan.
A
A
A

KUANTAN - Setiap kali hujan, keadaan di dalam Surau Al-Hidayah Felda Kampung Bukit Kuantan di sini dimasuki air kerana hampir 80 peratus bumbung surau terbabit telah bocor.

Tinjauan Sinar Harian di surau berkenaan mendapati jemaah terpaksa menyediakan beberapa besen bagi menadah air hujan sekali gus mengelakkan air membasahi seluruh kawasan dalam surau itu.

Pengerusinya, Mohamed Tahar, 71, berkata, situasi itu menimbulkan rasa tidak selesa kepada jemaah setiap kali hujan disebabkan keadaan bumbung yang semakin usang sejak lima tahun lalu.

Mohamed menunjukkan keadaan bumbung surau yang bocor sejak beberapa tahun lalu.
Mohamed menunjukkan keadaan bumbung surau yang bocor sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, surau terbabit turut diserang serangga perosak, anai-anai dan situasi tersebut membimbangkan jemaah yang rata-rata mereka adalah peneroka Felda generasi pertama.

“Kalau ikutkan, perkara ini sudah berlarutan sekian lama dan ada suatu masa ketika kami sedang mengerjakan solat jemaah, tempias air hujan dari kawasan yang bocor mengenai imam dan jemaah.

“Walaupun hujan tidak selalu berlaku, namun setiap kali hujan, kami perlu sentiasa berjaga-jaga dan perlu menyediakan hampir tujuh besen untuk menadah air hujan yang bocor,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Hidayah Felda Kampung Bukit Kuantan di sini pada Ahad.

Mohamed menjelaskan sebanyak RM60,000 diperlukan daripada orang ramai bagi membaiki pulih bumbung surau terbabit.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, setakat ini dana tersebut hanya berjaya dikumpulkan sekitar RM6,400 menerusi sumbangan penduduk setempat.

Tambah Mohamed, pihaknya telah membuat permohonan kepada pihak berwajib bagi mendapatkan sumbangan membaikpulih surau terbabit namun sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan.

“Kami telah membuat kertas kerja dan memaklumkan jumlah sedemikian diperlukan. Kami sebenarnya berhasrat mahu meninggikan sedikit bumbung surau selain mengganti baharu atap surau yang sudah rosak akibat dimakan anai-anai.

“Selain itu, perkiraan (permohonan sumbangan) dibuat berdasarkan harga semasa bahan mentah selain upah yang perlu dibayar kepada tukang,” ujarnya.

Sementara itu, Imam surau tersebut, Abu Hanipah Kasim, 85, memberitahu surau tersebut sudah mula dibina sejak di awal kemasukan peneroka di dalam tanah rancangan terbabit iaitu sekitar tahun 1977.

Ceritanya, surau terbabit dibina menggunakan kayu pada tahun 1999 dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar ketika itu iaitu Tan Sri Mohd Khalil Yaakob.

"Beliau (Mohd Khalil) telah menghulurkan bantuan untuk menaik taraf surau dari kayu kepada batu.

“Kini sudah 23 tahun berlalu dan keadaan surau sudah semakin uzur dengan beberapa bahagian sudah mula dimamah anai-anai jadi ianya perlu dibaik pulih semula,” katanya.

Bagi jemaah surau itu, Kamsan Sarip, 76, pula berharap ada pihak yang sudi menyalurkan sumbangan sebelum tiba musim tengkujuh.

"Keadaan (bumbung) surau sudah uzur dan bocor membuat jemaah risau, jadi kalau boleh dapat bantuan luar saya ucapkan banyak terima kasih.

"Kalau boleh segerakan bantuan kerana kita akan menghadapi musim hujan sampai (sehingga) bulan Disember ini. Jika boleh (sumbangan) awal lagi baik sebab jemaah jadi selesa menunaikan solat.” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan untuk membaikpulih surau tersebut boleh menghulurkan sumbangan tersebut ke dalam akaun Bank Islam Surau Al-Hidayah 06019010077804.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!