Pekerja kilang maut, lima cedera dalam nahas
PONTIAN - Seorang pekerja kilang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 1.1 Jalan Permas, Tanjung Bin dekat sini pada malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian jam 9.10 malam itu melibatkan SUV jenis Honda CRV dan sebuah kereta Mercedes-Benz.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang menaiki SUV bersama empat penumpang datang dari arah Lorong Haji Sakyon Laut menghala ke Lorong Haji Sakyon Darat, manakala Mercedes-Benz yang dipandu seorang lelaki pula dari arah Jalan Tanjung Bin ke Permas.
"Hasil siasatan awal mendapati pemandu CRV dan Mercedes-Benz ketika sampai di persimpangan empat, tiada sebarang papan tanda berhenti atau garisan berhenti berada di laluan masing-masing.
"CRV berkenaan telah dilanggar di bahagian sebelah tepi kanan oleh Mercedes-Benz tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan telah memasuki parit yang berair paras lutut di sebelah kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, akibat rempuhan itu pemandu CRV berkenaan, Vun Tat Shin, 42, yang beralamat di Taman Mutiara Utama, Skudai, Johor Bahru mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
"Empat penumpang melibatkan dua lelaki dan dua wanita berusia 36 hingga 43 tahun pula dan cedera dihantar ke Hospital Pontian untuk menerima rawatan.
"Pemandu Mercedes-Benz berusia 29 tahun turut cedera dan mendapatkan rawatan di Hospital Gleneagles," katanya.
Tambah Mohammad Shofee, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hasnan Abd Rahman berkata, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu CRV tersepit di tempat duduk pemandu.
"Seramai lapan anggota dengan dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas, namun disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian. Bomba turut memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera. Operasi tamat pada jam 11.43 malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!