GENIUS gesa KPM tunai janji tempatkan pelajar di 10 IPG
JERTIH - Gabungan Intelektual Pendidik Guru SeMalaysia (GENIUS) kesal kerana isu penutupan 10 Institut Pendidikan Guru (IPG) di negara ini masih belum selesai walaupun Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek telah mengumumkan untuk mengekalkan kampus berkenaan sebelum ini.
Presidennya, Dr Mohd Aziz Mohd Din berkata, isu penutupan IPG berkenaan kembali hangat apabila pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan terbaru tidak menghantar pelajar baru sesi Jun 2019 ke sepuluh IPG itu.
Menurutnya, isu penutupan IPG berkenaan sudah masuk tahun keempat bermula dari 2016 dan dianggap selesai apabila Dr Maszlee pada 7 September tahun lalu mengumumkan semua 10 IPG berkenaan dikekalkan bersama 17 IPG lain.
“Selepas itu diikuti pula penegasan beliau untuk tidak menutup 10 IPG kampus ini ketika beliau (Maszlee) di IPG Kota Bharu dan Tawau pada Februari dan Mac lalu.
“Ekoran itu, pegawai-pegawai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) telah melakukan kerja-kerja berkaitan pengambilan dan menyusun agihan pelajar baru yang diunjurkan seramai 6,000 orang bagi pengambilan Jun 2019 kepada kesemua 27 IPG Kampus,” katanya.
Mohd Aziz berkata, malangnya pada mesyuarat pengurusan IPGM terbaru bersama-sama pengarah IPG kampus telah memaklumkan 6,000 pelajar baru pengambilan Jun ini tidak akan dihantar kepada 10 kampus atas arahan pihak atasan KPM.
Menurutnya, tidak pula diberitahu siapakah yang disebut pihak atasan dan tidak pula dijelaskan apakah rasional keputusan terbaru itu.
“Ini memeranjatkan semua warga IPG, dengan itu akan memberi kesan negatif kepada para pensyarah daripada segi emosi dan juga kualiti kerja serta memberi impak kepada apa yang telah menteri sendiri umumkan.
“Tindakan tidak menghantar pelajar baru kepada IPG terbabit dilihat sebagai tidak akur dengan pengumuman yang dibuat menteri bagi mengekalkan kesemua 27 IPG. Apa makna IPG dikekalkan sekiranya tiada kemasukan pelajar?” soalnya.
ARTKEL BERKAITAN: Status kampus IPG Tawau kekal: Maszlee
Terdahulu, Dr Maszlee berkata, status Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau akan dikekalkan melihat kepada keperluan dan sumbangannya kepada sektor pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Katanya, adalah menjadi harapan agar IPG itu akan pergi lebih jauh dan terus menyumbang kepada sektor pendidikan negara.
"IPG ini bukan hanya sehingga tahun 2020 tetapi boleh lebih lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau prasarana dan meluangkan masa bersama warga pendidik dan pelajar di kampus Politeknik dan IPG Tawau Mac lalu.
Beliau memberi reaksi apabila sebelum itu terdapat ura-ura di bawah kerajaan terdahulu kononnya Kampus IPG Tawau akan ditutup.
Ketika ini, IPG Tawau dan Politeknik Tawau yang terletak di Balung, Tawau, berkongsi kampus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!