Bayi 'ajaib' ditemui hidup bawah runtuhan bangunan

Bayi perempuan ditemui hidup bawah runtuhan selepas ribut Daniel melanda Libya. - Agensi
Bayi perempuan ditemui hidup bawah runtuhan selepas ribut Daniel melanda Libya. - Agensi
A
A
A

DUBAI - Seorang bayi perempuan ditemui masih hidup bawah runtuhan bangunan di Libya, empat hari selepas ribut Daniel melanda negara tersebut, lapor Gulf News.

Ajaibnya, bayi masih bertali pusat ditemui sekumpulan pasukan penyelamat ketika sedang melakukan operasi mencari mangsa ribut yang kini mencecah 11,300 orang.

Rakaman video tular di platform media sosial menunjukkan pasukan terbabit dalam usaha menyelamat bekerja bersungguh di celah-celah runtuh dan berjaya menjumpai seorang bayi sedang menangis.

Selepas berjaya dikeluarkan, badan bayi tersebut kelihatan diselaputi debu serpihan sehingga mengundang rasa sebak anggota penyelamat yang mengeluarkannya dari sisa runtuhan bangunan.

Malangnya selepas video bayi itu tular, tiada ibu-bapa atau saudara maranya datang menuntutnya.

Segelintir netizen beranggapan keluarganya berkemungkinan maut dalam bencana dahsyat itu.

Selepas ditemui, bayi itu dibalut dengan teliti dengan sehelai kain dan dibawa ke hospital berdekatan bagi menerima rawatan lanjut.

Ribut Daniel yang menyebabkan kerosakan besar-besaran di Libya telah menyebabkan krisis kemanusiaan teruk selain menyebabkan belasan ribu penduduk maut sehingga mencetuskan bantuan global.

Artikel Berkaitan:

Ketika operasi menyelamat dilakukan, pasukan operasi mencari dan menyelamat bergelut kekurangan sumber termasuk bekalan beg mayat untuk menguruskan jumlah korban yang ramai.

Dalam perkembangan lain, pasukan penyelamat Malta kelmarin menemui ratusan mayat bergelimpangan di pantai bandar Derna yang dibadai banjir dahsyat pada Ahad minggu lalu.

Ketua pasukan itu, Natalino Bezzina memberitahu akhbar Times of Malta, bilangan mayat terbabit dianggarkan berkemungkinan mencecah kira-kira 400 mangsa.

Malta telah menempatkan sekumpulan 72 anggota penyelamat dari Jabatan Perlindungan Awam dan pasukan tentera sejak Rabu lalu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!