[VIDEO] Rumah, persiapan kahwin rosak akibat ribut
IPOH - Kediaman dan persiapan perkahwinan sebuah keluarga rosak dalam kejadian ribut yang melanda kawasan Bercham dekat sini pada Sabtu.
Kejadian bermula jam 3.50 petang itu mengakibatkan sebahagian bumbung rumah didiami Nor Azura Othman, 52, dari Bandar Baru Putra hilang akibat diterbangkan angin.
Perkakas dan keperluan majlis perkahwinan anak perempuannya Ahad depan termasuk hantaran, bunga telur dan persalinan nikah juga rosak setelah bilik pengantin mengalami kebocoran akibat kerosakan bumbung.
Nor Azura ketika ditemui berkata, kejadian berlaku dalam sekelip mata hingga mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barangan berkenaan.
"Sejak dua tiga hari ini memang selalu berlaku hujan dan angin pada sebelah petang, tetapi tak sangka pula kali ini kesannya begitu dahsyat.
"Petang semalam (Sabtu) bila angin kuat datang, secara serentak semua atap depan, sengkuap, zink tempat letak kereta dan bumbung bilik habis terbang.
"Keadaan ruang hadapan rumah dan bilik juga digenangi air akibat hujan lebat," katanya.
Ibu kepada 11 cahaya mata itu berkata, walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa, mereka sekeluarga mahu berusaha agar majlis kenduri dapat dilangsungkan seperti dijadualkan.
Katanya, buat masa ini kerja-kerja pembaikan dilakukan di bahagian bumbung bagi mengelak kerosakan peralatan dan perkakas rumah lebih teruk sekiranya hujan lebat.
"Anak saya masih terkejut lagi, dia pun belum ada kekuatan untuk masuk bilik dan tengok barang-barang kahwin yang rosak itu.
"Insya-ALLAH, kami cuba fokus untuk baiki bumbung dahulu, bila siap nanti secara perlahan-lahan kita aturkan semula kelengkapan dan persiapan perkahwinan," katanya.
Dalam kejadian itu, hampir 30 rumah di tiga kawasan perumahan iaitu Bandar Baru Putra, Taman Putra Indah dan Taman Indah mengalami kerosakan akibat ribut, namun tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan.
Mohd Saat Daud, 48, dari Taman Putra Indah hanya dapat berteriak Allahuakbar sebelum meminta isteri dan empat anaknya berkumpul di bahagian tengah rumah sebaik menyedari keadaan hujan lebat dan angin kencang itu.
Jurulatih di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta itu juga sempat mematikan bekalan elektrik rumah kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.
"Selepas 15 minit keadaan kembali reda, saya lihat ke luar rumah dan nampak sengkuap sudah tercabut, bumbung bilik hadapan juga hilang diterbangkan angin.
"Bila dicari, rupanya sudah tercampak jauh dekat 250 meter di sebuah padang ragut tepi lorong perumahan ini," katanya.
Seorang lagi mangsa, Nur Asyikin Mohamed Zulkifli, 50, berkata, kejadian itu adalah kali ketiga dan terburuk pernah dialami penduduk di kawasan perumahan berkenaan dalam tempoh 12 tahun.
"Sebelum ni rosak sikit-sikit sahaja, kali ini kerugian terpaksa ditanggung lebih besar antara RM5,000 ke RM10,000 kerana bumbung dan sengkuap yang rosak perlu diganti baru," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!