Libya akan siasat punca empangan pecah, dakwa mereka yang cuai
BENGHAZI - Pihak berkuasa Libya akan menjalankan siasatan dan mendakwa mereka yang didapati cuai sehingga menyebabkan empangan di bandar timur Derna pecah semasa hujan lebat, kata Menteri Kehakiman, Khaled Masoud al-Mudir, lapor Sputnik.
"Sekiranya terbukti mereka yang bertanggungjawab terhadap penjagaan empangan ini tersilap atau cuai, tidak memeriksa atau membaikinya, mereka akan dikenakan tindakan jenayah, sama ada mereka pemimpin perbandaran Derna atau pegawai daripada kerajaan sebelum ini.
"Pejabat Pendakwa akan melaksanakan semua prosedur undang-undang dan mengambil tindakan bagi memastikan kejadian ini tidak berulang," kata menteri itu.
Beliau berkata, pihak berkuasa Libya juga akan menyiasat kegagalan beberapa syarikat asing memantau keadaan empangan di timur negara itu, walaupun kontrak penyenggaraan telah dimeterai pada 1999, 2007 dan 2008.
Hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Daniel melanda Libya pada 10 September, mencetuskan banjir di timur negara itu, dengan bandar Susah dan Derna diisytiharkan sebagai zon bencana alam.
Sehingga Khamis, jumlah korban banjir melebihi 11,000, dengan nasib kira-kira 20,000 orang lagi belum diketahui, lapor penyiar Al Arabiya, memetik Bulan Sabit Merah Libya.
Pada Rabu, Datuk Bandar Derna, Abdulmenam Al-Ghaithi, berkata jumlah kematian akibat banjir di bandar itu mungkin mencecah 18,000 hingga 20,000. - Bernama-Sputnik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!