Tambah penerbangan baharu ke Ipoh sempena TMP2024 - Saarani

Saarani (kiri) menerima cenderahati daripada penganjur selepas menyempurnakan Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (Kamu) di Pekarangan Stadium Indera Mulia pada Ahad.
Saarani (kiri) menerima cenderahati daripada penganjur selepas menyempurnakan Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (Kamu) di Pekarangan Stadium Indera Mulia pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedang berunding dengan beberapa syarikat penerbangan bagi mewujudkan lebih banyak penerbangan baharu terus ke Ipoh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu dilakukan bagi merancakkan lagi kehadiran pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Menurutnya, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee bersama-sama Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bekerjasama merealisasikan hasrat tersebut melibatkan destinasi dari beberapa negara di Asia terus ke Ipoh.

"Sekarang ini memang ada penerbangan dari Singapura ke Ipoh dengan kekerapan tiga kali sehari begitu juga penerbangan dari Senai ke Ipoh. Kita juga telah berunding dengan syarikat penerbangan untuk menambah bilangan penerbangan sedia ada.

"Sempena Tahun Melawat Perak, memang ada perancangan untuk wujudkan penerbangan baharu dari negara lain, tapi kita tak boleh umum lagi sebab perlu kebenaran MoT (Kementerian Pengangkutan)," katanya kepada pemberita ketika menyempurnakan Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (Kamu) di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Sebelum ini, kerajaan Perak bersama Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan tambang percuma selama dua hari perkhidmatan KTM Komuter bagi tiga stesen baharu iaitu Ipoh, Sungai Siput dan Padang Rengas ke stesen lain sehingga Butterworth.

Lanjutan perkhidmatan KTM Komuter Utara laluan Butterworth ke Padang Rengas ke Stesen Ipoh baru-baru ini akan membawa impak positif kepada negeri Perak, termasuk merancakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan dalam negeri.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi kerja-kerja memulihara dan menaik taraf destinasi pelancongan di Perak termasuklah Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!