Banjir di Libya: Greece, Arab Saudi hantar bantuan kemanusiaan
MOSCOW - Greece dan Arab Saudi menghantar bantuan kemanusiaan ke Libya yang dilanda banjir, lapor Sputnik memetik laporan media pada Sabtu.
Kerajaan Greece menghantar dua tan makanan serta doktor tentera ke Libya, lapor portal berita eKathimerini.
Arab Saudi pula menghantar 90 tan makanan dan bahan untuk pembinaan rumah sementara, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA), dan menambah bantuan akan diagihkan kepada mangsa banjir dengan penyelarasan oleh Bulan Sabit Merah Libya.
Hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Daniel melanda Libya pada 10 September, menyebabkan banjir besar di timur negara itu, dengan bandar Susah dan Derna diisytiharkan sebagai zon bencana alam.
Laluan udara dan darat ditutup buat sementara waktu dan perintah berkurung dikenakan di beberapa bandar yang dilanda banjir.
Sehingga Khamis, jumlah korban banjir melebihi 11,000, dengan nasib kira-kira 20,000 orang lagi masih belum diketahui, lapor penyiar Al Arabiya memetik Bulan Sabit Merah Libya.
Pada Rabu, Datuk Bandar Derna, Abdulmenam Al-Ghaithi berkata, jumlah kematian akibat banjir di bandar itu mungkin mencecah antara 18,000 hingga 20,000 orang. - Bernama-Sputnik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!