Perbezaan politik tidak halang bincang isu negeri - Anthony

Foto yang dikongsi Ahmad Samsuri di Facebook beliau ketika mengadakan pertemuan dengan Anthony.
Foto yang dikongsi Ahmad Samsuri di Facebook beliau ketika mengadakan pertemuan dengan Anthony.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbezaan politik tidak menghalang pertemuan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi membincangkan isu negeri serta negara.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, pertemuan tersebut lebih banyak memberi tumpuan dalam memastikan pembangunan ekonomi negeri bertambah baik termasuk peranan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di dua stesen iaitu Permaisuri dan Jerteh.

“Walaupun kami mempunyai perbezaan politik, tetapi saya menghormati beliau sebagai seorang pemimpin dengan sikap profesional dan berkeperibadian baik.

“Apabila beliau menjemput saya untuk bertemu dan bersarapan pagi bersama sudah tentu saya menerimanya dengan hati terbuka.

“Kami di Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus memastikan kemudahan jaringan ECRL menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan membantu pembangunan kawasan industri di Terengganu selari dengan hasrat kerajaan negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Terdahulu, Ahmad Samsuri menerusi hantaran di Facebook berkongsi foto beliau ketika mengadakan pertemuan dengan Anthony.

Dalam hantaran sama, Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan pertemuannya dengan Anthony bagi membincangkan beberapa perkara seperti pemerkasaan Pelabuhan Kemaman dan memperkukuhkan peranan ECRL di dua stesen iaitu di Permaisuri dan Jerteh supaya dapat digunakan juga sebagai hab kargo.

"Perbincangan selama sejam setengah dalam suasana yang ceria dan positif ini adalah tanda bahawa perlunya sikap positif dalam hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri walaupun pegangan politik berbeza," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 3 April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kerja-kerja pembinaan ECRL di Terengganu telah mencapai tahap kemajuan 55.21 peratus.

Menurutnya, setakat ini kerja-kerja pembinaan jajaran sepanjang 275 kilometer (km) di negeri itu menepati jadual yang ditetapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa landskap politik di Malaysia sudah berubah.

Ujarnya, urusan pentadbiran negara dan negeri perlu bersikap profesional serta melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.

“Perubahan landskap politik Malaysia dapat dilihat apabila kerajaan negeri telah dikuasai oleh pelbagai gabungan politik yang berlainan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!