'Jangan risau situasi Azizul'
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berada dalam keadaan baik selepas mengalami insiden kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu.
Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, Azizulhasni kini mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan Institut Sukan Negara (ISN).
“Saya sudah mendapatkan info terkini daripada ketua jurulatih, John Beasley sejurus insiden itu semalam (Sabtu). Nasib baik... syukur kepada Tuhan, Azizul tidak mengalami kecederaan serius atau patah tulang.
“Saya dimaklumkan, Azizul hanya mengalami kecederaan ringan dan lebam-lebam pada bahagian kaki dan tangan. Tiada apa yang serius dan Azizul juga sudah kembali menjalani senaman ringan pagi tadi (Ahad).
“Jadi marilah sama-sama kita berdoa Azizul kembali pulih bagi membolehkan beliau kembali menjalani latihan seperti biasa. Saya percaya Azizul seorang atlet yang kental,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Pada Sabtu, Azizulhasni berkongsi satu rakaman video berdurasi 36 saat di laman Facebook miliknya yang menyaksikan dia terjatuh ketika sedang memecut dalam usaha mengejar motosikal di hadapannya di Velodrom Nasional.
Insiden itu pastinya mengejutkan ramai pihak memandangkan Azizulhasni kini dalam persiapan akhir menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 di China yang bakal bermula 23 September ini.
Malah, PKBM turut menyandarkan harapan kepada Azizulhasni untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat emas pada temasya Sukan Asia kali ini.
Mengulas lanjut, Amarjit berkata, Beasley akan memantau situasi pelumba berusia 35 tahun itu dalam masa beberapa hari ini sebelum skuad berbasikal trek negara berlepas ke Hangzhou.
“Sudah tentu apa yang berlaku pada Azizul itu memberi sedikit kesan dalam persiapannya menghadapi Sukan Asia di Hangzhou nanti. Tetapi saya yakin John Beasley sudah mempunyai perancangan.
“Kita tidak perlu terlalu risau dengan keadaan Azizul. Seperti yang kita semua kenali Azizul, beliau pernah mengalami insiden lebih dahsyat apabila betisnya tertusuk kayu ketika beraksi pada Siri Piala Dunia Klasik (2011) di Manchester,” jelasnya.
Pada Sukan Asia di Hangzhou nanti, Azizulhasni yang terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman akan beraksi dalam dua acara - keirin dan pecut individu.
Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni menyambar satu emas dalam acara pecut individu selain turut meraih satu perak (pecut berpasukan) dan satu gangsa (keirin).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!