Ebit Lew buat laporan polis atas fitnah melampau
SHAH ALAM - Pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew membuat laporan polis susulan fitnah yang dikenakan ke atasnya dalam satu program podcast khas kendalian penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice.
Beliau yang baru sahaja tiba dari Jeddah telah membuat laporan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes tersebut juga akan diserahkan kepada pihak peguam untuk tindakan undang-undang.
“Baru sampai dari Jeddah jam 12 malam tadi dan terus ke balai polis membuat laporan mengenai fitnah yang teramat melampau serta langsung tidak berasas ke atas diri saya.
“Saya serahkan pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan.
“Saya juga telah menyerahkan kepada pihak peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam ciapan di aplikasi X.
Pada 11 September lalu, media tempatan melaporkan, ibu tunggal, Mondy Tattoo mendedahkan cerita sebenar mengenai bantuan penceramah bebas, Ustaz Ebit di sebuah podcast khas yang dikendalikan oleh Caprice.
Pendedahan tersebut dibuat menerusi hantaran di Instagram dan telah dimuat naik di laman YouTube.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!