Tiga beranak rentung, lapan rumah kedai terbakar

Kebakaran menyebabkan kira-kira lapan buah rumah kedai musnah terbakar.
Kebakaran menyebabkan kira-kira lapan buah rumah kedai musnah terbakar.
A
A
A

KOTA KUALA MUDA - [DIKEMAS KINI] Tiga beranak ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Sungai Emas, dekat pekan Kota Kuala Muda, di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 1.12 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Sungai Petani serta Kuala Muda, Pulau Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, didapati api sedang marak dan dimaklumkan terdapat tiga mangsa terperangkap dalam rumah kedai berkenaan.

"Mayat pertama ditemukan di hadapan bahagian ruang tamu pada jam 3.19 pagi sementara mayat kedua ditemukan bawah pintu jeriji besi pada jam 6 pagi yang mana jarak kedua-dua adalah tiga meter, kemungkinan sedang cuba menyelamatkan diri.

"Manakala mayat ketiga ditemukan enam meter daripada mayat kedua di bahagian bawah tangga pada jam 10.15 pagi," katanya.

Orang ramai mula mengerumuni lokasi kejadian di pekan Kota Kuala Muda, Kedah.
Orang ramai mula mengerumuni lokasi kejadian di pekan Kota Kuala Muda, Kedah.

Jelasnya, bomba mengalami kesukaran untuk kerja-kerja pencarian mangsa yang rentung berikutan kedaaan premis yang agak lama berusia lebih 60 tahun selain diperbuat daripada kayu di bahagian atas.

Artikel Berkaitan:

"Sisa kebakaran tu sampai ke satu meter, jadi hendak menggali kena hati-hati, perlu bantuan jentolak serta peralatan lain untuk pastikan mayat tidak terjejas, yang kedua keutamaan kepada pegawai-pegawai penyelamat kita," jelasnya.

Awang Hidzel berkata, ketiga-tiga mangsa dikenal pasti ialah pasangan suami isteri, Lim Yang Kooi, 66; Lee Chew Fong, 61, dan ibu mereka, Yong Swee Lan, 92.

Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Kebakaran itu memusnahkan 85 peratus kelapan-lapan rumah itu.

Katanya, api berjaya dipadam sepenuhnya jam 12 tengah hari dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

Kebakaran membabitkan sekurang-kurangnya lapan unit rumah kedai dua tingkat di pekan Kota Kuala Muda, Kedah pada Isnin.
Kebakaran membabitkan sekurang-kurangnya lapan unit rumah kedai dua tingkat di pekan Kota Kuala Muda, Kedah pada Isnin.

Sementara itu, seorang saksi, Chu Ah Nya, 75, berkata, semasa kejadian, dia sedang nyenyak tidur di premis paling hujung sebelum terdengar ketukan pintu dari luar.

Pada mulanya, Ah Nya berkata, dia enggan membuka pintu kerana bimbang didatangi individu tidak dikenali berikutan masih mengingati peristiwa dibelasah penjenayah dua tahun lalu.

"Saya cuba buka pintu kecil dulu, tengok ramai orang kat luar, bomba pun ada, terus keluar nak tahu apa yang jadi," katanya.

Ah Nya yang menetap di premis itu lebih 50 tahun menceritakan, pada jam lebih kurang 9.30 malam, dia telah masuk tidur sebelum dikejutkan orang ramai kira-kira jam 12.50 tengah malam ketika api sedang marak.

Dia bagaimanapun berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum dimaklumkan terdapat mangsa yang terkorban dalam kejadian terbabit.

"Walaupun kaki sakit sebab kelam kabut jalan cepat-cepat keluar, namun saya lega kerana selamat," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!