Tontonan Malbatt hargai pengorbanan perajurit
IPOH - Pelbagai inisiatif dilakukan pelbagai pihak bagi menghargai pengorbanan perajurit negara dalam mempertahankan tanah air.
Bagi Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, mereka meraikan kira-kira 20 bekas tentera dari Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Parlimen Tambun bersama golongan muda dengan menonton filem patriotik, Malbatt: Misi Bakara.
Pegawai Khas ADUN Hulu Kinta, Ashraf Kahasani berkata, program tersebut cetusan idea ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad sendiri dengan sokongan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, program menonton wayang yang diadakan bersama PVATM merupakan julung kali diadakan.
"Kita nak pupuk semangat cintakan negara dan pupuk semangat persaudaraan sebab ini julung kali berlaku program belia bersama veteran.
"Program ini santai tetapi ia memberikan kesan yang cukup mendalam terutama memahami bagaimana keperitan dan pengorbanan yang dilakukan oleh tentera yang diilhamkan dalam filem tersebut," katanya kepada pemberita selepas menonton filem berkenaan bersama-sama kira-kira 100 orang di sebuah kompleks beli-belah di sini pada Sabtu.
Ashraf berkata, program tersebut akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, filem-filem seperti itu juga perlu diberikan sokongan supaya lebih banyak penghasilan filem berkualiti pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!