Pembantu kedai maut, motosikal terbabas langgar tiang lampu
KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum melanggar tiang lampu di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Penjara Penor di sini pada Ahad.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Asrol Arman Abdul Rahman, 20, dari Alor Beruang, Batu 11 di sini mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Pekan.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan dan melanggar tiang lampu.
"Akibat kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai meninggal dunia di tempat kejadian.
"Siasatan mendapati mangsa terbabas sendiri dan tidak melibatkan kenderaan lain," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan berlaku di laluan lurus dalam keadaan cuaca baik, namun keadaan agak gelap tanpa lampu jalan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!