Erdogan bertemu Elon Musk di New York
NEW YORK - Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan yang bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk di New York City pada Ahad, menjemputnya ke Turkiye dan memintanya membuka kilang ketujuh Tesla di sana, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam pertemuan yang berlangsung di Turkish House (juga dikenali sebagai Turkevi Center) di Manhattan, Erdogan memaklumkan kepada Musk, pengasas Tesla dan SpaceX, mengenai kejayaan teknologi Turkiye serta visi 'Turkiye Digital' dan Strategi Kecerdasan Buatan Kebangsaan," menurut Direktorat Komunikasi Turkiye dalam satu kenyataan.
Susulan kereta elektrik Turkiye, Togg, yang sudah berada atas jalan raya di Turkiye dan Tesla memasuki pasaran negara itu, Erdogan menggesa Tesla supaya menubuhkan kilang ketujuhnya di Turkiye, kata kenyataan itu.
"Presiden Erdogan berkata peluang untuk bekerjasama dengan SpaceX mungkin muncul melalui usaha yang dilakukan dan akan dibuat yang merupakan sebahagian daripada program angkasa Turkiye, dan menjemput Musk ke Teknofest yang akan berlangsung di İzmir," katanya. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!