Harimau kumbang masuk perangkap

Perhilitan memeriksa harimau kumbang yang berjaya ditangkap di Kuala Pilah pada Isnin.
Perhilitan memeriksa harimau kumbang yang berjaya ditangkap di Kuala Pilah pada Isnin.
A
A
A

KUALA PILAH - Kebimbangan empat sekeluarga di Kampung Ulu Beting di sini dengan kehadiran seekor harimau kumbang di kediamannya berakhir apabila haiwan liar itu berjaya ditangkap.

Harimau berkenaan memasuki perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Negeri Sembilan pada awal pagi Isnin.

Rusmazaiti Kamarulzaman, 31, berkata, dia dan suaminya, Abdul Mizan Mohd Haris, 42, terdengar bunyi pelik dari luar rumah dan sebaik langsir dibuka mendapati seekor harimau kumbang telah masuk perangkap.

Menurutnya, umpan tiga ekor anak anjing selama hampir seminggu membuahkan hasil.

"Pagi tadi masa masih gelap lagi saya ingat kecil sahaja, rupa-rupanya bila dah terang harimau kumbang itu bersaiz agak besar. Apa pun saya lega seekor harimau kumbang ini berjaya masuk ke dalam perangkap.

"Bagaimanapun, sebelum ini ada banyak kesan tapak kaki dan dipercayai lebih dari seekor harimau kumbang berkeliaran di sini. Perhilitan juga cepat sampai bagi memantau kejadian ini dari masa ke masa," katanya pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan empat beranak cemas apabila seekor harimau kumbang muncul di hadapan rumahnya.

Sebelum itu, dua ekor anjing yang menjaga kebun mereka hilang tanpa jejak rupa-rupanya menjadi mangsa haiwan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan Nurul Ermi Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan Jabatan Veterinar Negeri Sembilan akan memeriksa keadaan harimau kumbang tersebut sebelum maklumat lanjut dikongsikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!