PRU Thailand: Keputusan tak konklusif, pengundian baharu tahun depan?
BANGKOK - Hampir tujuh minggu selepas pilihan raya umum pertama Thailand sejak rampasan kuasa 2014, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand mengeluarkan keputusan rasmi pada 8 Mei - tanpa pemenang yang jelas dan keadaan masa depan politik yang tidak menentu.
Keputusan rasmi pilihan raya umum 24 Mac yang sudah lama tertangguh itu menyaksikan dua parti utama iaitu pro-junta Palang Pracharat (PPRP) dan pembangkang “Barisan Demokratik” pimpinan Pheu Thai gagal meraih majoriti jelas di Dewan Rakyat Parlimen Thailand yang mempunyai 500 kerusi perwakilan.
Oleh itu, kerajaan gabungan harus dibentuk dan parti politik kini berunding sesama sendiri dalam usaha mencari sekutu. Barisan Demokratik yang dianggotai tujuh parti diketuai Pheu Thai, yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra, telah memenangi sejumlah 245 kerusi Dewan Rakyat - kurang enam daripada majoriti.
PPRP yang menyokong Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-o-cha menyusuli dengan 115 kerusi. Bagaimanapun, 11 parti kecil yang masing-masing memenangi satu kerusi bagi calon senarai parti telah mengumumkan akan bergabung dengan PPRP menjadikan jumlah kerusi yang diperoleh ialah 126.
(Di bawah perlembagaan baharu pada 2017 yang digubal semasa pemerintahan kerajaan junta, sejumlah 13 parti kecil dianugerah satu kerusi bagi calon senarai parti).
PPRP juga berkata ia yakin boleh membentuk kerajaan seterusnya dengan dengan lebih 250 kerusi kerana gabungannya boleh terdiri daripada 20 parti. Ia akan menjadi jumlah parti terbesar bagi gabungan parti pemerintah dalam sejarah Thailand.
Ini diikuti parti berorientasikan belia Future Forward (FFP) (meraih 80 kerusi dewan rakyat), Demokrat (52) dan Bhumjaithai (51).
Pemimpin Bhumjaithai berkata ‘parti itu akan mendengar pendapat rakyat’ manakala Demokrat berkata ia akan menunggu sehingga perhimpunan agung parti itu pada 15 Mei untuk memilih pemimpin baharu parti dan anggota eksekutif untuk membuat keputusan.
Meskipun tiada pemenang yang jelas, Prayuth dijangka terus berkuasa dengan 376 kerusi diperlukan dalam parlimen yang mempunyai 750 kerusi – yang terdiri daripada 500 kerusi Dewan Rakyat dan 250 kerusi Senat yang dipilih oleh junta – bagi memilih seorang perdana menteri.
Penganalisis politik berkata, gabungan Prayuth akan membentuk kerajaan yang lemah, tidak stabil dan tidak mempunyai usia yang panjang.
Seorang pakar dalam politik Thailand yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Komuniti ASEAN Universiti Naresuan, Dr Paul Chambers, berkata gabungan pimpinan PPRP terpaksa bergelut untuk memerintah dan akan bertahan tidak lebih dari setahun kerana amat sukar untuk memenuhi tuntutan pelbagai parti dengan portfolio berbeza dalam kabinet.
“Jika terdapat satu pilihan raya tahun depan, ia mungkin membentuk sebuah kerajaan yang lebih kukuh,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Chambers berkata kebuntuan mungkin berlaku jika Demokrat atau Bhumjaithai enggan bekerjasama dengan PPRP.
Chambers juga berkata FFP, yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pilihan raya umum tersebut, mungkin berdepan pembubaran pada masa itu.
Pemimpin FFP dan bintang politik yang semakin menyinar Thanathorn Juangroongruangkit kini berdepan pertuduhan hasutan dan melanggar undang-undang pilihan raya yang mungkijn menghilangkan kelayakan beliau sebagai anggota parlimen dan terpaksa meringkuk dalam penjara jika didapati bersalah.
“Sebaliknya, jika FFP tidak dibubarkan, ia akan menjadi lebih kuat dan menunjukkan prestasi lebih baik dalam pilihan raya berikutnya kerana ia akan memberi Thanathorn masa yang lebih banyak untuk menyusun parti itu. Ini bermakna gabungan pembangkang mungkin boleh berkuasa.
“Bagaimanapun, jika FFP dibubarkan, penyokong FFP dan mereka yang memilih parti itu mungkin tidak keluar mengundi dan ini akan membantu Prayuth serta PPRP,” katanya.
Sementara itu, Presiden Fakulti Undang-Undang di Kolej Sarjana Asia, Jade Donavanik, berkata majoriti tipis akan menyukarkan usaha untuk meluluskan dasar dan rang undang-undang.
“Dengan majoriti tipis di dewan itu manakala kira-kira 10 hingga 20 anggota parlimen akan dilantik menjadi menteri, yang tidak akan mengundi di parlimen, ini akan menyukarkan usaha untuk meluluskan rang undang-undang, terutama rang undang-undang bajet,” katanya.
Sebuah kerajaan baharu dan kuat memerlukan sekurang-kurangnya 270 kerusi Dewan Rakyat bagi memastikan kestabilannya.
Dewan rakyat dijangka memulakan sesi sulungnya pada 23 Mei dan seorang perdana menteri baharu akan dipilih pada awal Jun.
Hanya masa yang akan menentukan sama ada pilihan raya umum pertama dalam tempoh lapan tahun bakal menandakan kembalinya negara ke sistem demokrasi dan sebuah kerajaan yang stabil atau ketidakpastian politik yang berpanjangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!