Rasa Sayang GMBB sarat dengan unsur seni
KUALA LUMPUR - Pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB menganjurkan Rasa Sayang, sebuah program kreatif yang mesra keluarga sempena sambutan Hari Malaysia.
Program sehari 'sarat seni' itu diisi dengan pelbagai persembahan seni dan kebudayaan, bengkel, pameran serta pertandingan yang berlangsung di beberapa lokasi dalam pusat beli-belah berkenaan.
Ia termasuk wayang kulit kontemporari dan bengkel membuat patung wayang kulit anjuran Fusion Wayang Kulit yang dikendalikan tok dalang bertauliah dari Sekolah Seni Permainan Bayangan Melayu Tradisional, Kelantan.
Tidak ketinggalan, persembahan Tarian Main Jo-oh dari Maznah Unyan dan kumpulanTompoq Tompoh yang mewakili masyarakat Mah Meri serta persembahan kebudayaan dan pameran rotan masyarakat Bhuket dari Sarawak.
Kurator GMBB dan pengurus komunikasinya, Lim Ying Xian berkata, penganjur cuba menjadikan program Rasa Sayang semeriah dan semajmuk mungkin, sama ada dari jenis kandungannya mahu pun dari latar belakang dan identiti seniman-seniman yang ditonjolkan.
"Dari segi genre, kami mempunyai seni warisan daripada Fusion Wayang Kulit serta seni orang asli daripada masyarakat Mah Meri dan Bhuket. Kami turut menjalankan sebuah kempen menulis poskad untuk mengongsikan rasa sayang," katanya.
Kongsi beliau lagi, hasil seni rotan masyarakat Bhuket telah dibawa dan diterbangkan dari rumah panjang mereka dari Sarawak ke GMBB untuk memperkenalkan dan menonjolkan seni warisan dan budaya masyarakat berkenaan dalam program itu.
"Ini dianjurkan secara kolaboratif dengan ramai seniman-seniman muda yang mandiri, dan pengisian-pengisian dalam Rasa Sayang ini turut diseimbangkan dengan siri kandungan yang disusun oleh penggerak teater tempatan, Five Arts Centre," tambahnya.
Sorotan lain bagi menghangatkan suasana program termasuk persembahan open mic dari kugiran-kugiran indie tempatan serta pelbagai bengkel seni dan kraf yang dianjurkan Unsura Studios serta komuniti artisan yang berada di GMBB.
Rasa Sayang berlangsung selama sembilan jam dari 11 pagi hingga 8 malam di beberapa lokasi dan ruang seperti The Grey Box, Kesana-Kesini, dan Temu-Temu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!