Siasat kedai runcit jual gula melebihi harga ditetapkan
Ahli Jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) Johor, Kamalariffin Abdul Rahman berkata, peniaga berkenaan sepatutnya menjual gula itu pada harga RM2.85 bagi peket satu kg.
"Sejurus mendapat aduan penduduk taman ini pihak kami datang menyiasat dan mendapati memang kenaikan harga berlaku di kedai runcit berkenaan.
"Bagi mengelirukan pembeli, jualan gula itu dilakukan secara tersorok dan hanya dijual apabila ada pelanggan mahu membelinya. Peniaga terbabit mendakwa tiada bekalan gula dan kononnya bekalan gula dibeli dari sebuah pasar raya.
"Gula dijual pada harga RM3 untuk 1kg selain banyak barang keperluan lain turut dinaikkan harganya," katanya ditemui pemberita pada Isnin.
Kamalariffin berkata, siasatan mendapati pengendali kedai itu ialah warga Pakistan yang dipercayai disewa daripada warga tempatan.
Selain itu katanya, pihak MN juga menerima laporan menyatakan beberapa buah kedai runcit lain di taman tersebut dan Taman Suria turut menaikkan harga barang-barang keperluan khususnya barang kawalan.
Justeru pihaknya menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) segera turun padang untuk melakukan siasatan.
"Tinjauan juga mendapati beras tempatan amat terhad di kedai runcit di taman perumahan ini, keadaan ini amat memberikan tekanan kerana beras import yang dijual kebanyakannya berharga RM36 ke atas untuk berat 10kg," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!