'Losong nama tempat, bukan jenis keropok'

Gambar tular menunjukkan jenis-jenis keropok lekor di Terengganu yang menimbulkan perdebatan di media sosial.
Gambar tular menunjukkan jenis-jenis keropok lekor di Terengganu yang menimbulkan perdebatan di media sosial.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Baru-baru ini 'perdebatan' dalam kalangan netizen berkenaan jenis-jenis keropok lekor di Terengganu kembali hangat diperkatakan sehingga ada dalam kalangan mereka menjadikan ia sebagai kandungan dan hantaran di media sosial masing-masing.

Ia susulan gambar tular menghuraikan jenis-jenis keropok di Terengganu yang dibahagikan kepada beberapa jenis antaranya losong, lekor, nipis dan paku.

Kebanyakan pengguna media sosial dari Terengganu menafikan gambar yang disebarkan itu sehingga ada yang menyifatkannya sebagai 'ajaran sesat'.

Seorang pengusaha keropok, Ahmad Bukhari Ayob, 37, berkata, Losong adalah nama kawasan ataupun tempat keropok lekor dijual dan kebanyakan masyarakat luar Terengganu gemarkan keropok di situ kerana saiznya lebih pendek dan kecil.

"Keropok 'losong' asalnya dari nama Kampung Losong. Macam saya jual keropok ni, sebelum ni orang luar Terengganu suka keropok saiz kecil yang dijual empat batang RM1.

"Orang luar memang suka yang tu sebab tu mereka panggil sebagai keropok losong. Asalnya keropok lekor tak kira besar atau kecil semuanya adalah keropok lekor.

"Kalau bahasa Terengganu keropok getel, keropok rebus, semuanya benda yang sama," katanya.

Mengulas mengenai gelaran lain bagi keropok lekor, Ahmad Bukhari berkata, terdapat salah faham terhadap beberapa gelaran yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Keropok nipis tu sebenarnya kalau di Terengganu orang panggil keropok selipar. Nampak macam keropok keping tapi bila goreng ia tak kembang.

"Kalau belah Kuantan banyak keropok jenis ni tapi kat Terengganu tak ada, kalau ada pun tak banyak. Untuk keropok paku saya tak pasti datang dari mana gelaran tu.

"Apa yang pasti keropok jenis lekor yang orang panggil losong tu berasal dari Kampung Losong. Saiz kecil, besar tetap keropok lekor. Ada yang gelar keropok getel, rebus ke goreng ke keropok gondel pun ada orang panggil.

"Untuk keropok crispy tu memang betul keropok crispy. Merata-rata ada jual,"ujarnya.

Sementara itu, pemilik akaun media sosial Unamul Hassan berkata, dia meminta kepada pemilik gambar itu supaya menghentikan perkongsian maklumat yang tidak tepat.

"Losong tu bukan jenis keropok. Losong tu nama kampung di Terengganu. Kampung Losong antara tempat popular untuk beli keropok.

"Keropok di setiap tempat Terengganu ada keunikan tersendiri. Ia berkait dengan resipi keropok, jenis ikan yang digunakan atau sejarah pengasas keropok tersebut," ujarnya yang mengaku sebagai anak jati Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!