Seniman sebagai jambatan bantu artis - Zed Zaidi

Zed Zaidi, Zaiton Sameon
Zed Zaidi, Zaiton Sameon
A
A
A

RAYUAN penyanyi popular era 1980-an untuk mendapat bantuan kewangan bulanan dan kediaman turut didengari oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, persatuan itu melalui Edika Yusof telah membantu Zaiton Sameon bagi mendapatkan bantuan sewajarnya daripada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Setelah perkara ini tular, ada beberapa artis yang menghubungi saya untuk sama membantu Zaiton, tetapi bantuan terbesar setakat ini adalah daripada abang Edika Yusof.

"Beliau telah menghubungi saya pagi tadi dan memaklumkan telah beri nama Zaiton pada MAIWP dan pihak MAIWP juga telah menghubungi Zaiton," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Zed, 43, sebagai persatuan, Seniman cuba untuk menjadi jambatan bagi memudahkan urusan artis yang memerlukan dengan pihak berkenaan.

"Saya tahu bila keluar berita artis memerlukan bantuan seperti ini, orang akan persoalkan apa fungsi persatuan macam Seniman?

"Walhal Seniman ini adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perlu mencari dana sendiri. Kami tidak mendapat apa-apa peruntukan setiap tahun.

"Jadi bila ada yang memerlukan, saya anggap Seniman sebagai jambatan untuk bawa artis ini berjumpa dengan pihak berkenaan dan kita akan cuba bantu mana yang boleh," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, penyanyi yang cukup hits dengan lagu Menaruh Harapan itu memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Penyanyi berusia 67 tahun itu turut memohon bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur tahun lalu, tetapi sehingga kini masih tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak berkenaan.

Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada JKM Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Zed memberitahu, Seniman kini membuka tabung Seniman Prihatin bersama Kita Fund bagi mengumpul dana untuk membantu mana-mana artis yang memerlukan.

Katanya, orang lain boleh turut sama menyumbang menerusi tabung tersebut dan segala maklumat boleh didapati menerusi media sosial Seniman.

"Seniman akan membantu apa yang kami mampu, tidak kira dari segi kewangan atau tenaga untuk 8,000 ahli Seniman.

"Harap tabung ini nanti akan dapat memberi manfaat kepada ahli yang benar-benar memerlukan," akhirinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!