MyCARE, Econsave anjur Misi Bantuan Pasca Gempa Bumi Lombok
JOHOR BAHRU - Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave akan menganjurkan Misi Bantuan Pasca Gempa Bumi Lombok di Lombok, Indonesia dari 27 sehingga 30 September ini.
Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam berkata, pelbagai program akan dianjurkan dalam misi tersebut antaranya melakukan penyerahan 5,000 naskhah al-Quran di 50 madrasah dalam daerah itu.
"Kita juga akan membuat simbolik penyerahan kenderaan 'coaster' atau bas mini oleh pihak MyCARE dan Econsave kepada sekolah cacat penglihatan.
"Misi ini juga akan melaksanakan program psikososial untuk 150 warga anak yatim. Selain itu kita akan menyantuni dan memberi sumbangan ‘food pack’ kepada 100 warga emas miskin dan 150 anak yatim miskin sekitar Lombok," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu katanya, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas akan turut menyumbangkan 50 al-Quran Wakaf Maqdis dan Noble terjemahan bahasa Inggeris untuk pusat tahfiz yang akan dilawati nanti.
Pihaknya juga tidak ketinggalan akan membuat penilaian beberapa projek pasca gempa bumi dalam misi-misi kemanusiaan pihaknya yang terdahulu terutamanya pembinaan rumah, perigi dan masjid bernilai RM100,000 di Dusun Dasan Baru, Lombok Timor.
Mas Imran berkata, seramai 17 peserta akan terlibat membabitkan tujuh aktivis MyCARE diketuai Rozi Abd Ghani, Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang selain beliau sendiri.
"Turut terlibat tiga rakan dari kelab Majestic Bikers selain enam wartawan dan jurufoto daripada Sinar Harian, Al Hijrah, Harian Metro serta Utusan Malaysia," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!