Pembelian panik peniaga makanan punca bekalan kurang

Chon Siang ketika melakukan tinjauan bekalan telur, minyak masak peket, beras tempatan dan gula di salah sebuah pasar raya di sini pada Isnin.
Chon Siang ketika melakukan tinjauan bekalan telur, minyak masak peket, beras tempatan dan gula di salah sebuah pasar raya di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Pembelian panik yang dilakukan para peniaga makanan antara punca berlakunya kekurangan bekalan telur, minyak masak peket, beras tempatan dan gula di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang berkata, faktor itu dikenal pasti hasil pemeriksaan dan pemantauan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang di pasar raya di seluruh negeri.

Menurutnya, bekalan bagi empat barang keperluan itu memang diterima pihak pasar raya, bagaimanapun disebabkan pembelian panik daripada peniaga makanan menyebabkan stok bekalan yang diterima kehabisan.

"Saya percaya peniaga berbuat demikian sebagai stok kerana bimbang bekalan terputus dan menjejaskan perniagaan mereka," katanya ketika ditemui selepas meninjau bekalan gula, telur, beras tempatan dan minyak masak di 11 pasar raya di sini pada Isnin.

Chon Siang berkata, terdapat juga dakwaan pembekal lebih mengutamakan pasar raya yang bayaran tunai dalam tempoh segera untuk menghantar bekalan barang keperluan itu.

"Pasar raya yang membayar secara tunai lebih cepat mendapat bekalan dengan kuantiti lebih besar dan sebaliknya bagi pasar raya yang membuat bayaran secara kredit.

"Isu ini juga antara penyumbang kepada masalah kekurangan bekalan barang keperluan ini dan perkara itu perlu perhatian pihak KPDN," katanya.

Menurutnya, masalah kekurangan bekalan itu akan dibangkitkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, Rabu ini.

Artikel Berkaitan:

"Isu ini akan dibawa untuk perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar tindakan segera diambil bagi menyelesaikan isu itu di negeri ini.

"Pihak pengilang, pembekal dan peniaga perlu dipanggil untuk berbincang bagi mencari jalan mengatasi masalah yang semakin menghimpit para pengguna," ujarnya.

Pada masa sama, beliau meminta pengguna di negeri ini agar tidak panik dan membuat pembelian mengikut keperluan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!