Kerajaan lancar Jualan Rahmah Beras esok

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melancarkan Jualan Rahmah Beras pada Selasa bagi meringankan beban rakyat yang tidak berkemampuan dan terkesan dengan kenaikan harga beras di pasaran ketika ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, program itu akan membolehkan rakyat membeli beras pada harga diskaun.

"Tunggu esok, kita lancar Jualan Rahmah Beras. Rakyat akan dapat beras dengan harga diskaun (dari) subsidi oleh kerajaan di bawah KPDN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Fuziah memberitahu, mekanisme berkaitan program itu nanti akan dimaklumkan kementeriannya.

Menyentuh soal kawal selia padi dan beras pula, Fuziah berka, seperti diketahui umum, ia sebenarnya di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tiada kuasa mengawal pun, (kawal) harga pun tak.

“Tetapi hari-hari kita dengar rintihan rakyat. Ada yang merayu. Saya juga mendengar rintihan-rintihan ahli Parlimen yang mewakili rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Maka KPDN cuba cari jalan bagaimana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita boleh menyelesaikan isu kenaikan harga beras import dan tiada beras tempatan seperti didakwa,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, harga beras dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun selepas pengeksport utama, India menyekat penghantaran beras putih bukan basmati pada hujung Julai lalu.

Berikutan itu Padiberas Nasional Bhd (Bernas) memaklumkan bahawa, harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!