Hospital Pantai Sungai Petani raih RM5,000 dana kesihatan melalui CSR
ALOR SETAR - Hospital Pantai Sungai Petani berjaya mengutip RM5,000 untuk dana kesihatan Cancer Survivor Malaysia (CSM) melalui penganjuran Kempen Treasure Hunt for Health.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Sungai Petani, Tio Bee Chan berkata, dana itu diraih melalui satu lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama 100 ahli ejen insurans dari seluruh negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis bermula di Hospital Pantai Sungai Petani dan berakhir di Alor Setar.
Beliau berkata, sumbangan sebanyak RM5,000 yang diperoleh dari penyertaan program Treasure Hunt disalurkan kepada CSM untuk kegunaan perubatan dan sebagainya.
"Kempen Treasure Hunt for Health merupakan program julung-julung kalinya dianjur Hospital Pantai Sungai Petani dan beberapa agensi insurans untuk mengeratkan lagi hubungan korporat strategik antara kedua-dua organisasi.
"CSR ini merupakan salah satu dari pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk merai dan mengiktiraf kerjasama antara rakan korporat iaitu agensi-agensi insurans yang sentiasa memberikan sokongan penuh dalam setiap urusan jaringan perlindungan dan pembiayaan perubatan," katanya.
Menurut Bee Chan, pihak hospital dan agensi insurans saling memerlukan dan insurans merupakan sumber pembiayaan utama untuk semua hospital swasta.
Beliau berpandangan perlindungan insurans mahupun takaful memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan kos perubatan komprehensif kepada pesakit untuk menjalani rawatan di hospital swasta.
"Justeru, kedua-dua pihak amat memerlukan dalam setiap urusan pengurusan pembiayaan perubatan," katanya.
Beliau menyifatkan, program inisiatif CSR seumpama itu merupakan salah satu cara strategik untuk mengukuhkan lagi hubungan korporat sebagai hospital panel pilihan.
Sebelum itu, Bee Chan bersama Timbalan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Farique Rizal Abdul Hamid melakukan penyampaian replika cek kepada Pengerusi CSM, Zuraini Kamal diikuti penyampaian barangan “Treasure Hunt” kepada wakil pesakit kanser dari Hospital Pantai Sungai Petani.
Melalui Kempen Treasure Hunt for Health, pemenang utama membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 2,000, diikuti RM1,000 (tempat kedua) dan RM 6,00 (ketiga), manakala hadiah saguhati juga diberikan kepada keenam hingga seterusnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti dan program terkini, layari laman Facebook di https://www.facebook.com/pantaihospitalsungaipetani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!