Perhilitan berjaya tangkap gajah liar serang lembu milik pekebun
GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan seekor gajah dewasa jantan yang dipercayai mengganggu lebih 300 pekebun di Kampung Subong Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini pada Isnin.
Ketua Operasi Pemindahan Gajah Liar RPT Sungai Terah, Mohammad Abu Huzaifah Abu Samah, 36, berkata, operasi dilaksanakan selepas gajah yang dianggarkan seberat tiga tan daripada Kumpulan ID Nenggiri yang mempunyai populasi anggaran 20 ekor, berjaya ditangkap pada Jumaat lepas.
Beliau berkata, dua ekor gajah denak betina bernama Abot dan Rambai turut didatangkan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang untuk membantu pemindahan berkenaan dengan memujuk gajah jantan tersebut keluar.
"Gajah jantan diberi nama Pak Muda Subong dengan tapak kaki bersaiz 16 inci itu ditangkap tiga hari lepas dan dianggarkan berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun. Haiwan berkenaan dipercayai antara gajah yang terlibat dengan serangan lembu di Kampung Awek sebelum ini.
"Pembinaan jalan dan ruang punggah bagi penarikan gajah liar ini telah dilakukan pada pagi semalam dan disambung semula hari ini disebabkan cuaca hujan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Subong, RPT Sungai Terah di sini pada Isnin.
Mohammad Abu Huzaifah berkata hasil pemantauan kesihatan yang telah dilakukan mendapati gajah liar tersebut berada di dalam keadaan sihat dan stabil, justeru akan dilepaskan ke habitat asal.
"Operasi bermula pada jam 8 pagi dan kerja-kerja pemindahan gajah liar ke atas lori gajah selesai pada 2 petang termasuk melibatkan penarikan gajah liar menggunakan gajah denak sejauh kira-kira 200 meter ke ruang punggah,” katanya.
Beliau yang juga Pegawai Hidupan Liar PKGK Kuala Gandah berkata, operasi pemindahan itu melibatkan kira-kira 30 anggota dari PKGK Kuala Gandah dan Sungai Deka (Hulu Terengganu) serta Perhilitan Kelantan.
Sementara itu, pekebun, Ismail Awang Hamad, 60, berkata, dia bersyukur dengan tindakan pantas pihak Perhilitan menjejak dan menangkap gajah liar terbabit yang dipercayai turut menceroboh kebun pisangnya di Kampung Lembaga.
"Terima kasih diucapkan kepada Perhilitan dan pihak yang terlibat menangkap serta memindahkan gajah ini. Saya harap pihak yang terlibat mengambil tindakan jangka masa panjang sebagai langkah proaktif bagi permasalahan ini,” katanya.
Terdahulu, pekebun gempar apabila lembu ternakan milik seorang dari mereka ditemukan mati dengan kesan luka dipercayai ditusuk gading gajah liar di Kampung Awek, 8 September lepas.
Malah gajah liar tersebut dipercayai turut merosakkan kira-kira 200 pokok pisang dan pokok sawit milik pekebun di sekitar Kampung Lembaga dan RPT Kesedar Sungai Terah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!