Ibu reda anak 'pergi' selepas 2 hari bertarung nyawa
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang warga emas dari Kampung Padang Kala di sini reda dengan pemergian anaknya selepas bertarung nyawa selama dua hari di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini akibat disengat tebuan.
Aminah Awang, 70, berkata, anaknya, Allahyarham Mohd Hasmawi Mohd Saupi, 39, yang bekerja sebagai juruteknik menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.30 petang Ahad di wad berkenaan.
Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang anak yang sangat ceria dan selalu menggembirakan keluarga malah beberapa kali meminta maaf kepadanya ketika sedang dirawat.
"Semua adik-beradik menyayanginya. Sifatnya yang mudah mesra disenangi ahli keluarga," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Kala pada Isnin.
Aminah memberitahu, anak kelimanya itu juga selalu membawa isteri dan empat anak untuk menziarahinya dan makan bersama jika tidak sibuk bekerja.
Tambahnya, ketika dirawat Allahyarham meminta supaya ditidurkan kerana tidak dapat menahan kesakitan walaupun dia sendiri keberatan membenarkan prosedur itu.
Jelas ibu kepada enam anak itu, dia bertemu Allahyarham seminggu sebelum kejadian tetapi tiada sebarang perubahan malah bersikap ceria seperti biasa.
Jenazah Mohd Hasmawi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nibong, Padang Kala, Peringat, Kota Bharu kira-kira jam 7 pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Jumaat, Allahyarham Mohd Hasmawi disengat ratusan tebuan ketika membaik pulih pencawang elektrik di Kampung Morak, Tumpat.
Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi kakitangan menggunakan kren untuk membaik pulih pencawang berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!