Malaysia mampu beralih ke sektor pembuatan nilai tambah tinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mampu beralih ke sektor pembuatan yang memberi nilai tambah lebih tinggi sekiranya negara mempunyai kesungguhan politik dan kerjasama yang lebih kukuh antara sektor awam dan swasta, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

"Jika dilihat keadaan sekarang ini, kita mendapati bahawa ramai pelabur yang berhijrah dari China ke Asia Tenggara dan ini merupakan peluang keemasan untuk Malaysia membangkitkan ekonomi negara,” katanya.

Liew berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Justeru, katanya, empat misi yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) juga perlu dilaksanakan secara serentak supaya negara dapat beralih menghasilkan produk di peringkat lebih tinggi dan sekali gus berupaya membayar gaji lebih tinggi dalam usaha menarik tenaga kerja tempatan kekal bekerja di Malaysia.

Empat misi tersebut adalah memajukan kompleksiti ekonomi; meningkatkan teknologi untuk membina negara berdigital; usaha ke arah ‘Sifar Bersih’, serta menjamin sekuriti ekonomi dan keterangkuman.

Beliau berkata, kestabilan politik, kerjasama antara semua pihak dan pelaksanaan misi yang terkandung dalam NIMP 2030 perlu dijalankan secara serentak bagi membangunkan industri pembuatan yang berkualiti tinggi supaya negara tidak terperangkap dalam menghasilkan produk yang bernilai rendah.

"Model tadbir urus NIMP 2030 mengambil pendekatan ‘whole-of-nation approach’ (pendekatan keseluruhan negara) yang akan melibatkan kolaborasi antara pihak kerajaan dan sektor swasta.

"Majlis Kebangsaan NIMP 2030 akan bertanggungjawab menggerakkan hala tuju strategik, pemantauan dan penyelarasan, serta pelaksanaan pelan tindakan manakala satu Unit Pengurusan Pencapaian (DMU) akan diwujudkan di MITI untuk menyelaras urusan pentadbiran berkaitan pemantauan dan penilaian NIMP 2030,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, NIMP 2030 disasar untuk memberi impak yang tinggi kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara terutamanya bagi sektor pembuatan yang mana menerusi pelan ini nilai tambah sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat kepada RM587.5 bilion pada 2030.

"Unjuran ini adalah berdasarkan kadar pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus termasuk sumbangan subsektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa, farmaseutikal, peranti perubatan dan bahan termaju,” katanya.

Liew berkata jumlah pekerjaan sektor pembuatan juga dijangka meningkat kepada 3.3 juta pekerjaan pada 2030 pada kadar pertumbuhan 2.3 peratus.

"Trajektori pertumbuhan pekerjaan ini mengambil kira peningkatan dalam aktiviti bernilai tambah tinggi dan industri baharu serta kesan langsung peningkatan adaptasi automasi dan pendigitalan dalam sektor pembuatan,” katanya.

Melalui NIMP 2030 juga, katanya, gaji penengah bagi sektor pembuatan dijangka meningkat daripada RM1,976.0 pada 2021 kepada RM4,510.0 pada 2030. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!