Agong, Raja Permaisuri berbuka bersama warga ATM
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan, di Jalan Padang Tembak, di sini.
Ketibaan baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disambut oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Turut mengiringi baginda, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.
Turut hadir ke majlis berkenaan kira-kira 2,000 jemaah terdiri daripada orang awam dan warga ATM.
Sultan Abdullah kemudian turut menunaikan solat Maghrib bersama-sama hadirin di majlis berkenaan.
Pada majlis itu juga, Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 50 pelajar Sekolah Tahfiz dan Anak Yatim ATM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!