Tak semua yang tular di media sosial itu seronok
BARU-BARU ini, Merak Jalanan dihujani pertanyaan mengenai makcik garang di sebuah kedai makan tepi pantai yang viral dengan aksi dia melemparkan duit kepada pelanggan.
Ramai juga bertanya kepada Merak Jalanan; “Betulkah makcik tu garang, muka masam dan tak mesra pelanggan?”
Mai sini Merak Jalanan nak jawab. Yang pertama, Merak Jalanan ingat-ingat lupa pernah atau tidak makan di situ, tetapi ramai juga geng Merak Jalanan asyik bercerita kisah kedai makan itu.
Katanya, memang makcik tu selalu moody. Tak tahu bila masanya dia hendak senyum. Memang nasib malang kalau order mereka diambil oleh makcik tersebut.
Kedua, kalau kita dah tahu ‘ada kisah’ di kedai makan itu, janganlah rajin sangat hendak mencari pasal. Banyak lagi kedai ikan bakar boleh disinggahi.
Ketiga, tidak salah untuk tularkan kepada seluruh alam mengenai keburukan sikap seseorang tetapi kena beringat, dunia ini bulat tidak semena-mena nanti situasi itu beralih kepada kita.
Merak Jalanan teringat pula trend tular kedai makan yang kononnya sangat sedap dan murah.
Video tular itu mampu membuatkan setiap orang yang menontonnya terliur dek hidangan makanan mereka. Ditambah pula suasana ala-ala healing sambil menikmati makanan yang dipesan.
Merak Jalanan pun pernah terkena dengan video sebegitu.
Nak dijadikan cerita, apabila hidangan dipesan sampai, tidak pula seperti dalam video itu ditambah pula rasanya bagaikan indah khabar dari rupa.
Bayangkanlah perasaan Merak Jalanan ketika itu. Nak makan sambil healing tidak kesampaian sebab tak sama seperti dipromosikan influencer tersebut.
Nasihat Merak Jalanan, semak dahulu betul atau tidak restoran, hotel mahupun kafe ditularkan betul-betul tulen kesedapannya. Janganlah mudah tertipu!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!