Dua beradik diuji sakit kronik
ALOR SETAR - Dua beradik di Taman Sri Tandop, Jalan Simpang Empat, dekat sini diuji dengan penyakit kronik apabila kakak mengidap penyakit jantung sejak lahir manakala adik perempuannya disahkan menghidap kanser adrenal ataupun Adrenocortical carcinoma tahap empat sejak usia tiga tahun.
Ibu mereka, Nur Syazwani Ramli, 32, berkata, anak sulungnya, Puteri Saidatul Nisa Mohamad Zamzury, 10, sudah menjalani pembedahan sekali bagi merawat jantungnya pada usia enam bulan.
Anak keduanya pula, Puteri Izzatunnisa,6, dikesan menghidap kanser yang terbentuk di lapisan luar kelenjar adrenal dan menjejaskan pengeluaran hormon telah menjalani pembedahan tujuh kali termasuk ditidurkan empat kali oleh doktor bagi merawat penyakit tersebut.
"Selagi masih hidup, saya akan terus menjaga kedua-dua anak saya ini walaupun mereka menghidap penyakit kronik. Saya nak anak-anak sihat. Anak sulung itu kami terpaksa berhenti sekejap rawatannya di hospital swasta di Pulau Pinang dan masih lagi ada hutang dengan hospital itu.
"Kakak jalani rawatan di Pulau Pinang. Adik pula rawatannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tiga kali sebulan dan terpaksa ulang-alik dengan menaiki bas ekspres. Kami tidak dapat susun perbelanjaan kerana kos tinggi dan buat masa ini fokus rawatan adik dahulu," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Jelas Nur Syazwani, perbelanjaan sebanyak RM300 dikeluarkan untuk kos tambang, makan dan minum serta bil bayaran hospital setiap kali ke HKL.
Menurutnya, dengan pendapatan suaminya, Mohamad Zamzury Md Znan, 30, sebanyak RM1,500 yang bekerja sebagai pembantu kedai perabot tidak cukup menampung kehidupan bulanan mereka termasuk kos rawatan anak.
"Sebanyak RM300 juga perlu diperuntukkan setiap bulan untuk sewa rumah. Kami juga ada terima wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kos perbelanjaan harian," ujarnya yang tidak bekerja kerana perlu memberikan tumpuan kepada dua anaknya itu.
Nur Syzawani yang sebelum ini bekerja sebagai kerani terpaksa berhenti kerja pada tahun 2020 kerana perlu memberi tumpuan kepada kedua anaknya terutama Puteri Izzatunnisa yang kerap mendapat rawatan di hospital.
"Kanser yang menyerang adik kini telah pergi ke paru-parunya sebab itu kami memberikan perhatian penuh kepadanya," katanya lagi.
Sementara itu, nasib dua beradik tersebut mendapat perhatian Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang turut tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan harian selain susu khas untuk anaknya.
Menurutnya, masyarakat sekeliling dan pihak berkaitan wajar tampil membantu meringankan beban ibu bapa muda ini yang sedang diuji apabila kedua-dua anak mereka mengidap penyakit kronik.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Nur Syazwani 7610119295 (Bank CIMB) atau menghubungi 0194535744.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!