Seni anyaman tudung saji buluh makin dilupakan
TUMPAT - “Kadang-kadang tangan yang terkena selumbar buluh ini boleh bernanah berminggu-minggu.”
Demikian ujar Hazlina Awang Mamat, 55, yang merupakan generasi atau ‘pakar’ terakhir mewarisi seni anyaman tangan tudung saji tradisional daripada buluh di Kampung Ana, Jal Besar di sini.
Walaupun berdepan dengan segala kepayahan, demi cintakan warisan tersebut dia tetap gigih meraut buluh, mencelup, mengering dan menganyam sehingga terbentuk tudung saji buatan tangannya.
Apabila siap sesebuah tudung saji itu, Hazlina memberitahu, kesakitan tangan dicucuk selumbar, hilang dengan sendirinya sebelum terbit kepuasan selain ketenangan dalam hatinya.
“Orang muda zaman ini memang sudah tidak berminat untuk belajar warisan berharga turun-temurun yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita. Mereka berada dalam dunia serba moden dan mempunyai pekerjaan yang lebih baik seperti guru serta sebagainya.
“Tinggal golongan wanita sekitar usia 50-an dan ke atas sahaja yang masih tahu cara menganyam pelbagai corak menarik, berwarna-warni hinggalah mengikat bingkai yang kemas bagi membentuk sesebuah tudung saji buluh tradisional,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini pada Isnin.
Ujar Hazlina lagi, tanpa adanya pelapis, tidak mustahil satu hari nanti, seni kraf yang digunakan untuk menutup makanan daripada lalat dan habuk kekotoran itu akan terkubur serta pupus ditelan peredaran zaman.
Tegas wanita tersebut, warisan itu perlu dipelihara kerana bukan sahaja kehalusan anyaman yang mampu memukau pandangan mata tetapi mempunyai keistimewaan tiada tandingan seperti sangat tahan lasak dan mempunyai jangka hayat panjang dapat digunakan sehingga lebih 30 tahun.
“Sebuah tudung saji buluh mengambil masa sehari untuk disiapkan bermula dengan proses memotong buluh mengikut ruas-ruas kemudian dibahagikan ke bahagian-bahagian lebih kecil dan diraut menggunakan pisau khas hingga menjadi helaian halus serta nipis.
“Buluh yang siap diraut itu akan dicelupkan dengan pewarna dan seterusnya dikeringkan sebelum sedia untuk dianyam barulah diikat dengan bingkai juga daripada buluh yang lebih tebal.
“Proses ini rumit namun hasilnya amat berkualiti kerana sifat ketahanan fizikal buluh itu sendiri yang sangat kukuh dan boleh saja dibasuh untuk membuang habuk jika tudung saji itu dipakai dalam tempoh terlalu lama,” kata wanita itu yang juga pandai menghasilkan nyiru daripada buluh.
Menurutnya, selain kemahiran semula jadi yang terdapat pada seseorang penganyam, teknik dan ragam hias anyaman juga akan mencantikkan lagi hasil tudung saji yang dibentuk.
Antaranya, teknik sulam atau susun susup yang akan memberi kesan berbentuk bunga geometri asas seperti susunan segi tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya.
“Seni kerja anyaman tangan ini ialah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya. Corak cantik terhasil pada tudung saji itu kebiasaannya tercetus hasil ilham dan kreativiti pembuatnya yang menganyam pada masa-masa lapang di waktu petang.
“Sebuah tudung saji buluh berharga sekitar RM30 hingga RM50, bahkan ada yang mencecah ratusan ringgit bergantung kepada saiz dan corak yang dihasilkan sekali gus menjadi sumber pendapatan keluarga,” katanya yang turut bekerja sebagai penyusun batu-bata pada sebelah pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!