Anjur jualan harga borong sempena hari raya, cadang menteri
PUTRAJAYA - Agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dicadangkan supaya mengadakan jualan harga borong bagi barang-barang keperluan hari raya untuk membantu rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof semasa mengutarakan cadangan itu berkata, agensi yang berkeupayaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) sebagai contoh, mungkin boleh melaksanakan cadangan itu dengan menjual barangan keperluan hari raya seperti tepung, minyak dan beras dibawah harga pasaran.
Katanya, cadangan itu pasti akan dapat dilaksanakan sekiranya ia mendapat kerjasama dari syarikat-syarikat serta para usahawan yang telah berjaya.
Beliau seterusnya mencadangkan agar tempoh jualan harga borong itu dibuat antara seminggu ke 12 hari sebelum sambutan Hari Aidilfitri.
"Ini sedikit sebanyak akan memberikan keceriaan kepada rakyat khususnya mereka yang kurang berkemampuan dalam membantu mereka membuat persediaan untuk menyambut hari raya," katanya ketika ditemui media pada majlis berbuka puasa bersama warga kementerian di sini hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!