90 rakan strategik sertai SME Bank XCESS 2023

Peluang usahawan teroka, kembang potensi perniagaan

A
A
A

Ketua Pengurusan Pemegang Taruh (Stakeholder Management) SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah
Ketua Pengurusan Pemegang Taruh (Stakeholder Management) SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah

SME Bank, sebuah agensi dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengajak para usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan untuk meneroka potensi serta peluang pengembangan perniagaan melalui penyertaan dalam program SME Bank XCESS 2023 yang akan berlangsung secara hibrid pada 21 hingga 22 September ini.

Bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, SME Bank XCESS 2023 memperkenalkan elemen baharu yang menyediakan peluang kolaboratif kepada para usahawan PMKS menerusi penyertaan lebih daripada 90 rakan strategik tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pengurusan Pemegang Taruh (Stakeholder Management) SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah berkata, para usahawan PMKS berpeluang mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan SME Bank seperti pembiayaan perniagaan meliputi modal kerja, pembelian aset, jaminan bank dan lain-lain.

“Selain itu, usahawan boleh berinteraksi secara langsung dengan para pegawai SME Bank di lokasi program dan mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan melangkaui pembiayaan termasuklah program pembangunan kapasiti dan kapabiliti oleh anak syarikat SME Bank iaitu CEDAR, perkhidmatan takaful, perkhidmatan perbendaharaan, Asset Link dan pelbagai perkhidmatan lain.” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Hamdan, SME Bank XCESS kali ini turut memperkenalkan teras tambahan yang dikenali sebagai program XCESS Beyond Borders (XBB) yang membuka ruang yang lebih luas kepada peluang perniagaan rentas sempadan untuk PMKS tempatan.

Di bawah teras XBB katanya, lebih 20 syarikat pembeli dan rakan strategik antarabangsa termasuk dari Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan sebagainya akan turut menyertai SME Bank XCESS 2023 yang mana pada usahawan boleh memanfaatkan peluang tersebut dengan memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka untuk meneroka pasaran di negara-negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hamdan memberitahu, XCESS kali ini juga mengetengahkan program UMBRELLA, sebuah program yang mana usahawan, pemegang lesen, pemegang francais dan peserta yang bernaung di bawah syarikat Anchor.

“Di bawah program UMBRELLA, para peserta akan menerima pelbagai sokongan perniagaan serta bantuan kewangan, termasuklah start-ups. Antara syarikat Anchor di bawah program UMBRELLA SME Bank termasuklah Petronas Auto Expert, Ramly Mart, Bubblebee, Chatime, Bateriku, Al Ikhlas Gadget dan Siti Khadijah,” jelasnya.

Selain tiga teras utama, Hamdan turut memaklumkan terdapat empat lagi teras yang diketengahkan sepanjang SME Bank XCESS kali ini termasuk Rentas Sempadan, Program Pembangunan Vendor, Peruncit dan Pasar raya besar, Invest Malaysia, Pembangunan Kapasiti dan Pembiayaan Alternatif.

“Para usahawan PMKS yang menyertai program ini juga berpeluang membina jaringan dan memperluaskan hubungan mereka dengan wakil daripada syarikat-syarikat gergasi antaranya seperti Telekom Malaysia, Lazada, TikTok dan sebagainya yang mana syarikat-syarikat seperti ini sentiasa mencari pembekal dan pemberi perkhidmatan tempatan untuk meluaskan jaringan bekalan mereka,” katanya.

Jelas Hamdan, SME Bank XCESS 2023 turut disertai oleh kesemua agensi-agensi di bawah KUSKOP yang akan dirasmikan oleh Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick manakala pelbagai acara dan seminar menarik disusun sepanjang program selama dua hari itu.

Menurut beliau, antara topik yang akan dikupaskan oleh pakar-pakar industri termasuklah ‘Memperkukuhkan Usahawan PMKS Menghadapi Cabaran Global’, ‘Eksport Ke Amerika Melalui Amazon’, ‘Meluaskan Pasaran Ke ASEAN’ dan pelbagai topik berkaitan keusahawanan serta perniagaan yang akan dibincangkan untuk ilmu serta manfaat semua yang hadir.

“Para usahawan PMKS atau individu yang berminat untuk sertai SME Bank XCESS 2023, mereka boleh hadir ke MITEC pada tarikh berkenaan dari pukul 10 pagi atau menyertai program ini di portal www.smebankxcess2023.com dan mengadakan temu janji bersama pempamer secara dalam talian,” ujarnya.