Kane akan jadi pemusnah buat United

Harry Kane - Foto EPA
Harry Kane - Foto EPA
A
A
A

PENYERANG Bayern Munich, Harry Kane akan menjadi watak penting buat pasukan itu ketika menerima kunjungan Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis.

Walaupun penguasaan domestik yang menyaksikan Bayern memenangi 11 kejuaraan Bundesliga yang lalu, kelab itu gagal menyerlah dalam saingan Liga Juara-Juara.

Sejak muncul juara kejohanan itu di Lisbon pada 2020, Bayern telah tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selama tiga tahun berturut-turut.

Penyingkiran tersebut juga memberikan kesan kepada pengendali ketika itu, Hansi Flick dan Julian Nagelsmann sehingga dipecat oleh Bayern.

Pengendali Bayern, Thomas Tuchel sedar bahawa mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir dianggap sebagai satu misi besar pasukan itu ketika ini.

Kehadiran Kane juga menjadi satu faktor pasukan gergasi Jerman itu perlu mara lebih jauh berbanding dalam tiga edisi sebelum ini.

Bayern memecahkan rekod perpindahan mereka untuk menarik Kane dari Tottenham pada musim panas, membayar €100 juta (RM501 juta) untuk kapten England berusia 30 tahun itu.

Dengan gelaran Bundesliga dan Piala Jerman sering dimenangi Bayern, perpindahan Kane ke pasukan itu jelas untuk meraih kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini.

Artikel Berkaitan:

"Bayern akan memulakan permainan dengan intensiti yang tinggi. Liga Juara-Juara sentiasa istimewa dan perlawanan pertama saya bersama Bayern Munich akan kekal bersama saya, jadi saya harap ia berjalan lancar," kata Kane.

Bagaimanapun, Kane juga dilihat sedikit sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Jerman, setelah menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan liga pertamanya.

Namun, dia menegaskan keadaan ketika ini baik dan yakin dapat menyesuaikan diri dengan secepat mungkin.

"Semuanya hebat setakat ini. Banyak yang perlu saya lakukan, di dalam dan di luar padang, mencari rumah dan sebagainya.

"Tetapi, semua orang telah mengalu-alukan saya dan membantu saya untuk menyesuaikan diri secepat mungkin. Setakat ini, ia adalah permulaan yang baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!