APMM Pulau Pinang tahan bot langgar syarat lesen

Bot nelayan kelas C yang ditahan APMM.
Bot nelayan kelas C yang ditahan APMM.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan kelas C selepas didapati melanggar syarat sah lesen.

Pengarah APMM Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 8.9 batu nautika dari Timur Laut Pulau Betong pada jam 11.40 malam semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong lelaki warga Thailand berusia 38 tahun bersama tiga awak-awak lelaki iaitu seorang warga tempatan dan dua warga Thailand berusia dalam lingkungan 46 hingga 48 tahun berada di atas bot tersebut.

“Mereka ditahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(b) kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 12 batu nautika dari pantai terdekat.

“Bot berkenaan bersama dua gulung pukat tunda, dua buah papan tunda, ikan campur anggaran 100 kilogram (kg) dan ikan baja anggaran 100 kg ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Hamizan berkata, kesalahan melanggar syarat sah lesen merupakan isu utama di perairan Pulau Pinang dan pihaknya amat memandang serius masalah ini.

Katanya, penangkapan ikan di luar zon boleh menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati komuniti maritim tempatan agar bekerjasama dengan pihak APMM dalam menyalurkan maklumat lengkap berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon penangkapan ikan oleh bot pukat tunda.

Artikel Berkaitan:

“Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!