PRK: Pas dakwa PH-BN amal politik mundur
KUANTAN - Pas Pahang mendakwa Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengamalkan sikap dan amalan politik mundur.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Andansura Rabu, sekatan dilakukan BN terhadap pembangkang bukan sikap demokratik seperti yang dilaung-laungkan oleh rakannya, PH.
"PRK Pelangai PH-BN tak sporting (berfikiran terbuka)... sikap dan amalan politik mundur 20 tahun. Sekat itu, sekat ini.
"Guna dewan tak boleh, guna padang tak boleh. Ini politik zaman bila?" soalnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, sekatan bagi menggunakan kemudahan sedang berlaku kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Pelangai.
Ujarnya, PN tidak dibenarkan menggunakan sebarang kemudahan awam dan ada lokasi yang sudah dapat kebenaran serta dibayar deposit tetapi dibatalkan.
Katanya, pembatalan itu dibuat disebabkan terdapat arahan daripada pihak atasan.
"Ingatkan bila dilaung-laungkan tentang pembaharuan tadbir urus dan tata kelola, sikap dan pemikiran kerajaan akan lebih adil dan matang.
"Rupanya indah khabar dari rupa. Hanya manis di bibir. Sudahlah peruntukan untuk wakil-wakil rakyat pembangkang dinafikan. Baik di peringkat negeri mahupun persekutuan," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah itu berkata, masyarakat turut kecewa apabila gagal mendapat sumbangan daripada wakil-wakil rakyat, malah mereka diperli seperti siapa suruh mengundi pembangkang.
Selain itu, menurut Andansura, pembangkang turut berdepan tekanan antaranya ucapan dan kata-kata mereka dipantau selain laporan polis dan pendakwaan.
Menurutnya, ADUN Jengka, Shahril Azman Abd Halim menjadi mangsa terbaharu.
"Seingat saya amalan sekat-sekat ni gaya politik lama. Lebih 20 tahun dulu. Adakah itu pemikiran pentadbiran PH-BN? Pertembungan politik gelanggangnya juga medan politik. Berlawan hujah, bersaing ideologi, cara dan pendekatan. Kata orang muda, gentleman la.
"Bukankah perkara-perkara ketidakadilan ini yang menjadi inti perjuangan PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP dulu? Sekarang bila sudah jadi kerajaan, apa jadi dengan perjuangan itu? Lupa diri? Reformati? Kini mereka pula yang menjadi seperti UMNO-BN dulu-dulu. Sekelip mata kau berubah," katanya.
Andansura berkata, PRK Pelangai ini, Pas mahupun PN tidak akan rugi atau hilang apa-apa jika kalah.
Katanya, beban sebenarnya pada PH-BN kerana itu mereka bermati-matian, berhabis-habisan untuk menang.
"Buat apa sahaja, halalkan semua cara. Sekat dan tekan lawan. Janji menang," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!